Wednesday, 27 February 2019

KISAH PELAJAR TERTUA MADS



Pihak MADS ingin berkongsi kisah kegigihan dan kesungguhan seorang pelajar dewasa MADS yang sudah berusia 70 tahun namun sangat komited untuk belajar agama. Walaupun penglihatan sudah kabur, ingatan sudah lemah, dan tenaga sudah kurang tetapi tidak mematahkan semangat beliau untuk belajar kalam Allah. Apabila kami bertanya kepada beliau kenapa ingin belajar agama ?


Jawabnya; “Semenjak Nenek hidup tidak ada peluang sebegini untuk belajar agama kerana tiada tempat belajar dan tiada siapa yang mengajar, Mudah-mudahan kalau nenek mati besok, nenek ada jawapan di depan Allah dan semoga Allah masukkan nenek ke SyurgaNya...”


Kisah ini hanya sekadar perkongsian kepada semua agar terus semangat belajar mendalami agama. Ada pihak yang bertanya dan cadangkan kepada MADS, kenapa perlu mengambil ramai pelajar sepatutnya MADS hadkan jumlah pelajar.


Kami hanya mampu tersenyum dan ucapkan terima kasih atas cadangannya kerana mungkin dia tidak tahu keadaan dan situasi yang sebenar. Untuk pengetahuan semua, bermula tahun 2019 ini MADS mempunyai satu bangunan (MADS Pusat) dan 4 cawangan kelas pengajian yang dibuat di masjid-masjid setiap kampung dalam Pulau Jambongan. Sehingga kini pelajar MADS sudah mencecah seramai 320 orang (kanak2 & dewasa) dan pengajian mereka adalah PERCUMA.


Bagaimana mungkin untuk kami hadkan jumlah pelajar sedangkan semangat dan kesungguhan mereka diluar jangkaan sehinggakan umur 70 tahun juga datang belajar. Cuba tanya diri anda, adakah anda sanggup untuk menghalang mereka untuk belajar kalam Allah ? Sudah pasti anda akan jawab tidak. Oleh sebab itu, MADS akan sentiasa membuka ruang dan peluang secara PERCUMA kepada seluruh warga Pulau Jambongan untuk belajar mengenal kalam Allah tanpa ada had umur.


Mungkin jika dibandingkan MADS dengan pusat pengajian di luar sana, memang kami jauh ketinggalan dari sudut bangunan, kemudahan dan kualiti pelajar namun bukan itu tujuan utama kami. Kami hanya ingin mengurangkan kadar buta huruf al-Quran, dan memberi kefahaman asas agama. Boleh jadi satu hari nanti InShaaAllah, MADS akan melahirkan pelajar yang berkualiti dan berminda kelas pertama serta menjadi “role model” kepada semua. Ameen

Nukilan MADS