Oleh: CIKGU ISKANDAR ZULFAQAR
Ikhlas merupakan perkataan yang selalu
singgah di halwa telinga kita. Seringkali kita mendengar percakapan orang lain
yang menyebut tentang perkataan ini. Contoh ayat yang sering disebut berkaitan
ikhlas adalah seperti ini. “Berbuat
sesuatu perlulah ikhlas”.
Mungkin kita tahu maksud ikhlas itu
adalah membuat sesuatu dengan hati yang rela tanpa mengharapakan apa-apa
sebagai balasan. Namun, persoalannya adakah itu sahaja yang menyimpulkan maksud
ikhlas secara menyeluruh?
Tidak. Ikhlas sebenarnya mempunyai definisi
yang lebih daripada itu. Jika diteliti, melalui istilah syarak, ikhlas membawa
erti niat hanya untuk mendapatkan redha Allah dalam melakukan amal ibadah dan
tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu yang lain. Malah dalam Al-Quran juga
sudah menyebut tentang ikhlas dalam beribadah.
وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ
لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ
دِينُ الْقَيِّمَةِ
Padahal mereka
hanya diperintah untuk menyembah Allah dengan ikhlas dalam beragama secara
lurus, dan juga agar mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat. Dan yang
demikian itulah agama yang lurus (benar). ( Surah Al-Bayyinah: ayat 5)
Ikhlas sangat dituntut oleh Allah
dalam semua perkara terutama sekali ibadat. Tidak sempurnalah sesuatu ibadah
yang dikerjakan itu sekiranya tidak didatangkan bersama dengan sifat ikhlas.
Sebagai contoh, seseorang yang sengaja
menunaikan solat di hadapan orang ramai dengan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk
(bukan bertujuan untuk dijadikan contoh), sudah pasti amalan tersebut tidak
sesempurna amalan solat yang dikerjakan orang lain yang lebih ikhlas.
Dalam Al-Quran telah diterangkan
kepada kita tentang perkara ini. Sebagai contoh dalam Surah Al-An’am
ayat 162 mafhumnya:
“Sesungguhnya
solatku, ibadahku, hidup dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam“.
Jelas kepada kita dalam ayat ini telah
ditegaskan bahawa segala apa sahaja amal ibadah yang kita lakukan serta hidup
kita ini bukanlah untuk dijadikan bahan bagi menunjuk-nunjuk dan meninggi diri
melainkan kesemuanya adalah untuk Allah.
Manakala dalam surah Al-Baniyah ayat 5
pula diterangkan bagaimana Allah memerintahkan umat Islam untuk beribadat hanya
semata-mata kerana-Nya dan bukannya kerana perkara lain. Mafhumnya:
“Padahal
mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan
kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus“.
Begitulah pentingnya keikhlasan dalam
beribadat kepada Allah. Namun, masih ramai yang tidak mampu untuk mengikhlaskan
diri dalam melakukan apa sahaja bukan sekadar beribadat semata-mata.
Tidak dinafikan untuk mendapatkan
keikhlasan ini agak sukar. Contoh situasi yang dapat diberikan adalah ketika
kita sedang berjalan di pasar. Tiba-tiba kita ternampak sampah di atas lantai
lalu kita pun mengutipnya untuk dibuang ke dalam tong sampah.
Pada masa itu juga, ada orang lain
yang melihat perbuatan tersebut. Maka, pada ketika itu sekiranya wujud perasaan
bangga diri dalam diri kita nescaya keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan
tadi tidak mampu dicapai.
Ada juga golongan yang suka
mengharapkan pujian daripada kebaikan yang mereka lakukan. Kadang kala, mereka
sengaja melakukan kebaikan di khalayak kerana ingin mendapatkan pujian daripada
orang sekeliling. Ini pastinya akan merencatkan amal kebaikan tersebut kerana
keikhlasan tidak ada lagi.
Namun demikian, dalam susahnya kita
untuk mencapai keikhlasan ini sebenarnya masih terdapat kemudahannya. Tips
paling mudah untuk mencapai keikhlasan dalam diri adalah jangan sesekali
meletakkan pengharapan akan ganjaran yang bakal diperoleh daripada sesuatu kebaikan
yang dilakukan.
Tanamkan tekad dalam diri bahawa Allah
sentiasa melihat perlakuan kita dan ganjaran daripada Allah itu lebih besar.
Menyebut tentang perkara ini, suka untuk saya kongsikan kata-kata hikmat daripada
seorang pemimpin yang berbunyi:
“Jika
kita berbuat baik dan tidak dikenang orang, teruslah berbuat baik kerana
akhirnya urusan kita bukanlah dengan orang-orang tetapi dengan Yang Maha
Pencipta.”
Selain itu, cara yang boleh dilakukan
untuk mencapai keikhlasan dalam amalan kebaikan adalah mengerjakan
amalan-amalan baik ini secara tersembunyi tanpa pengetahuan orang lain. Hal ini
sedikit-sebanyak dapat membantu mencapai keikhlasan kerana diri kita akan
kurang potensi untuk meminta pujian orang lain.
Bak kata pujangga, sedekahlah dengan
tangan kanan sehingga tangan kiri tidak tahu pun akan jumlah sedekah tersebut.
Begitulah sangat ditekankan untuk melakukan amalan kebaikan secara tersembunyi
serta tidak diketahui orang lain. Cukuplah Allah sahaja yang Maha Melihat akan
amal kebaikan yang kita lakukan itu.
Jadi, marilah berazam untuk kita
tingkatkan usaha bagi mencapai keikhlasan dalam apa jua yang kita lakukan tidak
kiralah sama ada amal ibadat, amal kebaikan yang lain dan sebagainya. Hal ini
kerana kesempurnaan amalan datangnya bersama keikhlasan.

