Monday, 27 August 2018

Kepentingan Penyatuan Dari Perspektif Islam.


 Oleh: CIKGU ISKANDAR ZULFAQAR


Islam merupakan sebuah agama yang sangat mengutamakan keamanan. Hal ini jelas menolak pandangan melampau sesetengah pihak terhadap agama Islam yang mengatakan bahawa Islam merupakan sebuah agama yang menyokong keganasan.

Dalam usaha mencapai keamanan, masyarakat perlulah bersatu dan tidak berpecah-belah. Penyatuan ini sangat dituntut dalam Islam kerana umat Islam sebenarnya bukan sahaja wajib menjaga hubungan dengan Allah S.W.T tetapi juga wajib menjaga hubungan sesama manusia.

Penyatuan bukan sahaja membentuk keamanan tetapi juga bakal membina sebuah komuniti umat yang kuat dan teguh. Kemajuan juga akan mudah dicapai seiring dengan penyatuan ini kerana masyarakat akan bekerjasama setelah mencapai kata sepakat untuk mencapai sesuatu.

Dalam membina penyatuan ini, Allah S.W.T telah memerintahkan kita umat Islam untuk mewujudkan persaudaraan antara satu sama lain. Seperti yang kita selalu dengar kata-kata umat Islam itu bersaudara konsep inilah sebenarnya yang akan lebih mengeratkan hubungan sesama Islam dalam usaha membina penyatuan.

Penyatuan umat Islam bukan sahaja mampu memajukan umat malah dapat juga menundukkan fitnah-fitnah yang disebarkan oleh musuh. Oleh itu, sangatlah penting bagi setiap daripada umat Islam untuk bersatu padu. Letakkan di belakang segala fahaman dan ego diri. Langkahlah ke hadapan bersama saudara-saudara seagama yang lain.

Tidak sukar sebenarnya bagi kita untuk mengeratkan tali persaudaraan. Banyak langkah mudah yang boleh diamalkan. Berikut merupakan beberapa perkara yang perlu diambil perhatian dalam memantapkan lagi persaudaraan sesama Islam. Antaranya adalah:

1.) Membudayakan ucapan salam apabila bertemu antara satu sama lain.

Selain daripada memperoleh pahala dengan hanya mengucapkan ucapan salam, hubungan silaturrahim juga dapat dieratkan. Kemesraan akan jelas terpancar walaupun tidak ada kata-kata lain yang diungkap. Cukuplah sekadar memberi salam iaitu mendoakan kesejahteraan seseorang itu.

2.) Memakmurkan Masjid dan mengimarahkan masjid dengan menunaikan solat secara berjemaah di masjid.

Tidak dapat dinafikan bahawa masjid merupakan tempat penyatuan umat Islam. Di masjidlah, umat Islam akan berkumpul bagi mendirikan ibadah. Silaturrahim juga dapat dieratkan di masjid apabila kita akan bertemu dengan umat Islam yang lain yang turut sama datang dengan tujuan beribadat kepada Allah.

3.) Membudayakan amalan ziarah-menziarahi supaya dapat mengekalkan hubungan kekeluargaan, persaudaraan dan persahabatan.

Amalan ziarah-menziarahi sangatlah dituntut dalam Islam terutama sekali menziarahi insan yang ada tali persaudaraan dengan kita. Tali persaudaraan tidak akan putus sekiranya amalan ziarah-menziarahi ini diamalkan. Seseorang itu pastinya akan merasa dihargai dan disayangi sekiranya dia diziarahi oleh saudara-maranya.

Dalam masyarakat Malaysia, budaya ziarah-menziarahi sering dilakukan apabila tibanya musim perayaan. Kita akan mengambil peluang ini untuk menziarah saudara-mara, rakan-rakan dan lain-lain tidak kira jauh atau dekat. Teruskanlah melakukan amalan yang mulia ini namun harus diingat pada masa yang sama, adab-adab sebagai tetamu haruslah sentiasa dijaga.

4.) Tidak bersangka buruk dan hasad dengki sesama umat Islam.

Hasad dengki dan bersangka buruk boleh dianggap sebagai virus yang akan mematikan penyatuan sesama umat Islam. Kedua-dua sifat negatif ini terjadi disebabkan satu perkara iaitu tidak mensyukuri nikmat Allah.

 Apabila kita tidak bersyukur, secara automatik kita akan ada rasa iri hati terhadap rezeki yang dikurniakan kepada orang lain sedangkan rezeki Allah itu berbeza-beza bagi setiap manusia. Sebaik sahaja terdetik rasa iri hati, sudah pasti kita akan bersangka buruk kepada seseorang itu pula.

Bagi mengatasi sifat negatif ini, kita perlulah sentiasa bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan. Jika kita lihat orang lain mendapat rezeki yang melebihi kita anggaplah usahanya lebih dari kita dan dia lebih layak akan rezeki tersebut. Teruslah berdoa dan berusaha untuk mendapatkan rezeki sepertinya.

Semoga perkongsian ini menjadikan kita lebih peka dalam membina persaudaraan sesama umat Islam di samping bersatu dalam membela agama Allah. Dengan bersatulah dapat kita capai kejayaan dan keharmonian seiring dengan kata keramat Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!

Sumber : Jabatan Mufti & Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu.


Tuesday, 21 August 2018

Mengapa Kita Ditegah Daripada Berputus Asa?




Oleh: CIKGU ISKANDAR ZULFAQAR

Kejayaan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai dalam hidup malah tanpa usaha kuat yang berterusan maka kejayaan itu tidak akan sesekali kita kecapi. Namun, dalam penat lelah usaha tersebut pastinya pelbagai dugaan serta cabaran akan datang membelenggu.

Pelbagai sebab di sebalik turunnya dugaan ini dan salah satunya adalah Allah S.W.T ingin menguji keimanan seseorang itu. Sejauh mana seseorang itu mampu untuk menghadapi dugaan yang ditimpakan kepadanya. Bukan itu sahaja, dugaan juga diturunkan kerana Allah rindu akan seseorang itu.

Rindu di sini membawa erti Allah S.W.T menginginkan seseorang itu untuk kembali melipat gandakan ibadatnya seperti selalu. Kadangkala, dalam kesibukan kita berusaha untuk mengejar sesuatu impian, kita mungkin alpa dan tanpa disedari ibadat yang dilakukan berkurangan daripada sebelum ini.

Tidak dapat dinafikan juga ketika ditimpakan ujian ini, ramai yang mengambil keputusan untuk mengaku kalah ataupun berputus asa sedangkan perkara ini sangat ditegah dalam agama. Berikut akan dikongsikan beberapa sebab mengapa kita ditegah daripada berputus asa.

1.) TIADA KEYAKINAN TERHADAP ALLAH S.W.T

Allah turunkan sesuatu ujian itu bukanlah untuk menghukum tetapi untuk menguji sejauh mana kekuatan, kesabaran serta keimanan hamba-Nya. Oleh itu, sudah pasti setiap ujian yang diberikan itu ada penyelesaiannya. Kita perlulah berusaha untuk mencari penyelesaian tersebut.

Jadi, jika berputus asa dan enggan mencari penyelesaian bermakna diri kita sudah tiada lagi keyakinan terhadap Allah. Hal ini kerana Allah telah berjanji setiap masalah itu ada penyelesaiannya tetapi kita tidak mahu mencari penyelesaian tersebut dan terus menyerah kalah.

Lebih parah lagi, terdapat juga segelintir individu yang menyalahkan takdir atas ujian yang diterima itu. Mereka berpendapat bahawa Allah ingin menghukum mereka serta tidak adil dalam menyusun takdir mereka. Nauzubillah!

2.) TAHAP KESABARAN YANG TERLALU NIPIS

Kesabaran akan teruji tatkala seseorang itu menerima ujian daripada Allah S.W.T. Jadi, kita haruslah sentiasa bersabar dan tidak mudah melatah apabila ditimpakan ujian atau musibah.

Berputus asa menandakan tahap kesabaran dalam diri kita itu terlalu nipis. Kesabaran sebenarnya mencerminkan keimanan seseorang. Seandainya nipis tahap kesabaran seseorang itu, maka nipislah imannya.

Oleh yang demikian, adalah menjadi kewajiban buat semua umat Islam untuk bersabar ketika menerima ujian dan dugaan daripada Allah. Pelbagai cara boleh dipraktikkan untuk bersabar ketika menghadapi ujian Allah. Salah satunya adalah dengan cara memiliki minda yang positif. Tetapkan dalam minda bahawa setiap ujian yang diturunkan itu ada hikmahnya.

Selain itu, perkara lain yang boleh diamalkan untuk meningkatkan kesabaran ketika menghadapi ujian Allah adalah dengan sentiasa mengucapkan kalimah istighfar. Sentiasalah beristighfar terutama sekali apabila sedang berhadapan dengan ujian kerana dengan cara ini kita akan dapat memperoleh ketenangan hati dan jiwa.

3.) PERKARA LEBIH TERUK MUNGKIN AKAN BERLAKU

Bermula daripada berputus asalah, lebih banyak lagi perkara-perkara lain akan turut berlaku. Keimanan yang terlalu nipis ditambah pula dengan tahap kesabaran yang sangat kurang serta minda yang negatif maka tidak mustahil seseorang itu akan hilang pertimbangan dalam dirinya.

Perkara yang tidak diingini akan berlaku contohnya seperti bunuh diri. Apabila seseorang itu merasakan Tuhan tidak lagi mampu membantunya dan dirinya sudah gagal dalam hidup ini, jalan yang terkahir akan dicarinya adalah dengan membunuh diri. Membunuh diri merupakan satu perbuatan yang sangat terkutuk dan dibenci oleh Allah. Semoga kita terhindar daripada perbuatan ini.

Jadi, yakinlah bahawa setiap ujian yang diturunkan itu bukanlah sebagai hukuman dan juga penganiayaan terhadap diri kita. Sebaliknya, ujian serta dugaan ini adalah untuk menambahkan lagi keimanan kita kepada Allah serta terdapat hikmah di sebaliknya. Kita perlulah bijak dalam menguruskan diri ketika menerima sesuatu dugaan daripada Tuhan.