Tuesday, 21 August 2018

Mengapa Kita Ditegah Daripada Berputus Asa?




Oleh: CIKGU ISKANDAR ZULFAQAR

Kejayaan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai dalam hidup malah tanpa usaha kuat yang berterusan maka kejayaan itu tidak akan sesekali kita kecapi. Namun, dalam penat lelah usaha tersebut pastinya pelbagai dugaan serta cabaran akan datang membelenggu.

Pelbagai sebab di sebalik turunnya dugaan ini dan salah satunya adalah Allah S.W.T ingin menguji keimanan seseorang itu. Sejauh mana seseorang itu mampu untuk menghadapi dugaan yang ditimpakan kepadanya. Bukan itu sahaja, dugaan juga diturunkan kerana Allah rindu akan seseorang itu.

Rindu di sini membawa erti Allah S.W.T menginginkan seseorang itu untuk kembali melipat gandakan ibadatnya seperti selalu. Kadangkala, dalam kesibukan kita berusaha untuk mengejar sesuatu impian, kita mungkin alpa dan tanpa disedari ibadat yang dilakukan berkurangan daripada sebelum ini.

Tidak dapat dinafikan juga ketika ditimpakan ujian ini, ramai yang mengambil keputusan untuk mengaku kalah ataupun berputus asa sedangkan perkara ini sangat ditegah dalam agama. Berikut akan dikongsikan beberapa sebab mengapa kita ditegah daripada berputus asa.

1.) TIADA KEYAKINAN TERHADAP ALLAH S.W.T

Allah turunkan sesuatu ujian itu bukanlah untuk menghukum tetapi untuk menguji sejauh mana kekuatan, kesabaran serta keimanan hamba-Nya. Oleh itu, sudah pasti setiap ujian yang diberikan itu ada penyelesaiannya. Kita perlulah berusaha untuk mencari penyelesaian tersebut.

Jadi, jika berputus asa dan enggan mencari penyelesaian bermakna diri kita sudah tiada lagi keyakinan terhadap Allah. Hal ini kerana Allah telah berjanji setiap masalah itu ada penyelesaiannya tetapi kita tidak mahu mencari penyelesaian tersebut dan terus menyerah kalah.

Lebih parah lagi, terdapat juga segelintir individu yang menyalahkan takdir atas ujian yang diterima itu. Mereka berpendapat bahawa Allah ingin menghukum mereka serta tidak adil dalam menyusun takdir mereka. Nauzubillah!

2.) TAHAP KESABARAN YANG TERLALU NIPIS

Kesabaran akan teruji tatkala seseorang itu menerima ujian daripada Allah S.W.T. Jadi, kita haruslah sentiasa bersabar dan tidak mudah melatah apabila ditimpakan ujian atau musibah.

Berputus asa menandakan tahap kesabaran dalam diri kita itu terlalu nipis. Kesabaran sebenarnya mencerminkan keimanan seseorang. Seandainya nipis tahap kesabaran seseorang itu, maka nipislah imannya.

Oleh yang demikian, adalah menjadi kewajiban buat semua umat Islam untuk bersabar ketika menerima ujian dan dugaan daripada Allah. Pelbagai cara boleh dipraktikkan untuk bersabar ketika menghadapi ujian Allah. Salah satunya adalah dengan cara memiliki minda yang positif. Tetapkan dalam minda bahawa setiap ujian yang diturunkan itu ada hikmahnya.

Selain itu, perkara lain yang boleh diamalkan untuk meningkatkan kesabaran ketika menghadapi ujian Allah adalah dengan sentiasa mengucapkan kalimah istighfar. Sentiasalah beristighfar terutama sekali apabila sedang berhadapan dengan ujian kerana dengan cara ini kita akan dapat memperoleh ketenangan hati dan jiwa.

3.) PERKARA LEBIH TERUK MUNGKIN AKAN BERLAKU

Bermula daripada berputus asalah, lebih banyak lagi perkara-perkara lain akan turut berlaku. Keimanan yang terlalu nipis ditambah pula dengan tahap kesabaran yang sangat kurang serta minda yang negatif maka tidak mustahil seseorang itu akan hilang pertimbangan dalam dirinya.

Perkara yang tidak diingini akan berlaku contohnya seperti bunuh diri. Apabila seseorang itu merasakan Tuhan tidak lagi mampu membantunya dan dirinya sudah gagal dalam hidup ini, jalan yang terkahir akan dicarinya adalah dengan membunuh diri. Membunuh diri merupakan satu perbuatan yang sangat terkutuk dan dibenci oleh Allah. Semoga kita terhindar daripada perbuatan ini.

Jadi, yakinlah bahawa setiap ujian yang diturunkan itu bukanlah sebagai hukuman dan juga penganiayaan terhadap diri kita. Sebaliknya, ujian serta dugaan ini adalah untuk menambahkan lagi keimanan kita kepada Allah serta terdapat hikmah di sebaliknya. Kita perlulah bijak dalam menguruskan diri ketika menerima sesuatu dugaan daripada Tuhan.



No comments:

Post a Comment