Pihak
MADS ingin berkongsi kisah kegigihan dan kesungguhan seorang pelajar dewasa
MADS yang sudah berusia 70 tahun namun sangat komited untuk belajar agama.
Walaupun penglihatan sudah kabur, ingatan sudah lemah, dan tenaga sudah kurang
tetapi tidak mematahkan semangat beliau untuk belajar kalam Allah. Apabila kami
bertanya kepada beliau kenapa ingin belajar agama ?
Jawabnya;
“Semenjak Nenek hidup tidak ada peluang sebegini untuk belajar agama kerana
tiada tempat belajar dan tiada siapa yang mengajar, Mudah-mudahan kalau nenek
mati besok, nenek ada jawapan di depan Allah dan semoga Allah masukkan nenek ke
SyurgaNya...”
Kisah
ini hanya sekadar perkongsian kepada semua agar terus semangat belajar
mendalami agama. Ada pihak yang bertanya dan cadangkan kepada MADS, kenapa
perlu mengambil ramai pelajar sepatutnya MADS hadkan jumlah pelajar.
Kami
hanya mampu tersenyum dan ucapkan terima kasih atas cadangannya kerana mungkin
dia tidak tahu keadaan dan situasi yang sebenar. Untuk pengetahuan semua,
bermula tahun 2019 ini MADS mempunyai satu bangunan (MADS Pusat) dan 4 cawangan
kelas pengajian yang dibuat di masjid-masjid setiap kampung dalam Pulau
Jambongan. Sehingga kini pelajar MADS sudah mencecah seramai 320 orang (kanak2
& dewasa) dan pengajian mereka adalah PERCUMA.
Bagaimana
mungkin untuk kami hadkan jumlah pelajar sedangkan semangat dan kesungguhan
mereka diluar jangkaan sehinggakan umur 70 tahun juga datang belajar. Cuba
tanya diri anda, adakah anda sanggup untuk menghalang mereka untuk belajar
kalam Allah ? Sudah pasti anda akan jawab tidak. Oleh sebab itu, MADS akan
sentiasa membuka ruang dan peluang secara PERCUMA kepada seluruh warga Pulau
Jambongan untuk belajar mengenal kalam Allah tanpa ada had umur.
Mungkin
jika dibandingkan MADS dengan pusat pengajian di luar sana, memang kami jauh
ketinggalan dari sudut bangunan, kemudahan dan kualiti pelajar namun bukan itu
tujuan utama kami. Kami hanya ingin mengurangkan kadar buta huruf al-Quran, dan
memberi kefahaman asas agama. Boleh jadi satu hari nanti InShaaAllah, MADS akan
melahirkan pelajar yang berkualiti dan berminda kelas pertama serta menjadi
“role model” kepada semua. Ameen
Nukilan
MADS
