Oleh: CIKGU ISKANDAR ZULFAQAR
Tidak dinafikan, kalimat istighfar
bukanlah sukar untuk diungkapkan. Hanya satu kalimat keramat bagi istighfar
iaitulah Astagfirullahaladzim. Namun, sayangnya mulut kita sangat berat untuk
ungkapkan kata keramat ini.
Andai saja kita mengetahui akan
kelebihan serta manfaat yang bakal diperoleh daripada mengucapkan kalimat suci
ini, nescaya siang dan malam kita hanyalah diisi untuk beristighfar kepada
Allah.
Seseorang insan yang mengamalkan
istighfar bukan sahaja akan dibayar dengan pengampunan pahala tetapi juga akan
dikurniakan ketenangan hati. Kita sering mendengar bahawa orang yang
beristighfar adalah orang yang sabar.
Kenyataan ini adalah tepat sama
sekali. Orang yang sentiasa beristighfar ini pastinya memiliki ketenangan hati
yang tinggi menyebabkannya mampu sentiasa bersabar walaupun apa jua dugaan
datang menimpanya.
Maka dengan itu, adalah amat dituntut
untuk kita semua sentiasa membasahkan lidah dengan istighfar kepada Allah.
Berikut merupakan dalil daripada kitab suci Al-Quran berkaitan tuntutan
beristighfar.
فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ
كَانَ تَوَّابًا
Maka ucapkanlah
tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia
amat menerima taubat. (Surah An-Nasr: 3)
Banyak sebenarnya kelebihan-kelebihan
beristighfar kepada seseorang umat Islam itu jika hendak dihitung. Namun, anda
wajib tahu 3 kelebihan utama istighfar ini bagi menambahkan lagi motivasi serta
semangat anda untuk sentiasa beristighfar. Berikut merupakan
kelebihan-kelebihan tersebut.
1.) Allah S.W.T Mangampunkan Dosa
Orang Yang Beristighfar
Sudah menjadi fitrah manusia untuk
melakukan kesilapan dan dosa. Tidak dapat dinafikan pada setiap hari ada sahaja
perbuatan tidak baik kita lakukan sama ada secara sedar mahupun tidak yang
menyebabkan kita jatuh ke lembah dosa.
Hal ini kerana kita adalah makhluk
yang lemah. Kita lemah dalam melawan godaan nafsu serta lemah dalam menentang
bisikan jahat iblis. Oleh sebab itulah kita sering sahaja melakukan
perkara-perkara tidak baik yang menjerumus ke arah dosa.
Namun demikian, adalah menjadi
kewajiban buat kita untuk terus bertaubat atas dosa yang telah kita lakukan itu
dan berazam untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut lagi.
Walaupun kita seringkali membuat
silap, namun janganlah putus asa untuk bertaubat di jalan Allah. Sentiasalah
bertaubat dan menginsafi diri. Allah itu Maha Pengampun dan Dia akan sentiasa
mengampuni hamba-hambaNya seperti dalam maksud hadis sahih di bawah.
“
Allah telah
berfirman, “Wahai hamba-hambaKu, setiap kalian
pasti berdosa kecuali yang Aku jaga. Maka beristighfarlah kalian kepadaKu,
nescaya kalian Aku ampuni. Dan barangsiapa yang meyakini bahawa Aku punya
kemampuan untuk mengampuni dosa-dosanya, maka Aku akan mengampuninya dan Aku
tidak peduli (beberapa banyak dosanya).”
-Riwayat Ibnu
Majah, Tirmidzi-
2.) Allah Memakbulkan Hajat Orang Yang
Beristighfar
Hajat serta permintaan menjadi
kenyataan adalah sesuatu yang sangat dicita-citakan oleh setiap manusia
termasuklah kita. Sebagai contoh, anda berhajat unutk memiliki kereta, dan
tiba-tiba kereta mewah yang anda impikan itu muncul betul-betul di hadapan
anda. Apakah perasaan anda? Gembira bukan?
Begitulah juga dengan seseorang yang
sentiasa beristighfar, Allah akan selalu menunaikan hajat yang dimintanya itu.
Berikut kami kongsikan kisah Imam Ahmad Bin Hambal berkenaan dengan perkara
ini.
Terdapat seorang penjual roti yang
sentiasa beristighfar. Hasil daripada dirinya yang sentiasa beristighfar itulah
Allah telah menghadiahkan setiap hajatnya menjadi kenyataan
Namun, terdapat satu hajat si penjual
roti tersebut yang Allah S.W.T belum tunaikan iaitulah untuk bertemu dengan
Imam Ahmad Bin Hambal. Pada suatu hari, Imam Ahmad Bin Hambal menumpang
bermalam di rumah penjual roti itu. Ketika itu, penjual roti tersebut tidak
mengenali Imam Ahmad Bin Hambal.
Mereka berdua berbual dan si penjual
roti tersebut menceritakan bahawa setiap hajatnya ditunaikan oleh Allah kerana
beristighfar kecuali satu sahaja lagi yang belum tertunai iaitulah untuk
bertemu dengan Imam Ahmad Bin Hambal.
Mendengarkan perkara itu, Imam Ahmad
Bin Hambal terus memperkenalkan dirinya. Si penjual roti tersebut sebak
mengenangkan betapa Allah telah mengaturkan pertemuannya dengan Imam Ahmad Bin
Hambal seperti yang dihajatkannya.
Begitu juga dengan kita. Banyakkan
istighfar dan berdoa. InshaAllah Allah S.W.T akan mendengar serta memakbulkan
doa kita itu.
3.) Dijauhkan Dari Azab Kubur
Kita sering melakukan dosa dan kepada
Allah jualah tempat kita memohon keampunan dan perlindungan. Oleh yang demikian
sentiasalah memohon ampun kepada Allah tanpa perlu berputus asa.
Keampunan daripada Allah mampu
menyelamatkan kita daripada ditimpa azab di akhirat kelak. Sesungguhnya seksaan
dan azab kubur itu benar dan amatlah pedih sehinggakan tidak mampu dibayangkan
oleh minda manusia yang terbatas.
Oleh itu, sentidas beristighfar dan
meminta kempunan atas apa jua dosa yang dilakukan nescaya Allah akan
mengampunkan dosa hambaNya. Allah itu Maha Penyayang.
وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنْتَ فِيهِمْ ۚ
وَمَا كَانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ
Dan Allah
sekali-kali tidak akan mengazab mereka, sedang kamu berada di antara mereka.
Dan tidaklah (pula) Allah akan mengazab mereka, sedang mereka meminta ampun.
(Surah Al-Anfal:
33)
Terdapat sebuah kisah berkaitan dengan
keampunan Allah dan terselamat daripada azab kubur ini. Seorang ulama telah
bertanya kepada seorang pemotong daging tentang apakah yang dilakukannya
sehinggakan kubur arwah ayahandanya sentiasa lapang dan bercahaya.
Apakah amalan yang dilakukannya
sehingga arwah ayahnya itu terselamat daripada azab api neraka. Si pemotong
daging itu menjawab dia tidak melakukan apa-apa melainkan beristighfar dan
berdoa memohon Allah S.W.T menyelamatkan ayahnya di barzakh.
Oleh itu, jadikanlah beristighfar ini
sebagai amalan harian kita. Sentiasalah beristighfar untuk mendapatkan redha
Allah seterusnya mampu menyelamatkan kita daripada azab api neraka kelak.