Tuesday, 4 December 2018

3 Kelebihan Utama Beristighfar Yang Mesti Diketahui


Oleh: CIKGU ISKANDAR ZULFAQAR


Tidak dinafikan, kalimat istighfar bukanlah sukar untuk diungkapkan. Hanya satu kalimat keramat bagi istighfar iaitulah Astagfirullahaladzim. Namun, sayangnya mulut kita sangat berat untuk ungkapkan kata keramat ini.

Andai saja kita mengetahui akan kelebihan serta manfaat yang bakal diperoleh daripada mengucapkan kalimat suci ini, nescaya siang dan malam kita hanyalah diisi untuk beristighfar kepada Allah.     

Seseorang insan yang mengamalkan istighfar bukan sahaja akan dibayar dengan pengampunan pahala tetapi juga akan dikurniakan ketenangan hati. Kita sering mendengar bahawa orang yang beristighfar adalah orang yang sabar.

Kenyataan ini adalah tepat sama sekali. Orang yang sentiasa beristighfar ini pastinya memiliki ketenangan hati yang tinggi menyebabkannya mampu sentiasa bersabar walaupun apa jua dugaan datang menimpanya.

Maka dengan itu, adalah amat dituntut untuk kita semua sentiasa membasahkan lidah dengan istighfar kepada Allah. Berikut merupakan dalil daripada kitab suci Al-Quran berkaitan tuntutan beristighfar.

فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا

Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat. (Surah An-Nasr: 3)

Banyak sebenarnya kelebihan-kelebihan beristighfar kepada seseorang umat Islam itu jika hendak dihitung. Namun, anda wajib tahu 3 kelebihan utama istighfar ini bagi menambahkan lagi motivasi serta semangat anda untuk sentiasa beristighfar. Berikut merupakan kelebihan-kelebihan tersebut.

1.) Allah S.W.T Mangampunkan Dosa Orang Yang Beristighfar

Sudah menjadi fitrah manusia untuk melakukan kesilapan dan dosa. Tidak dapat dinafikan pada setiap hari ada sahaja perbuatan tidak baik kita lakukan sama ada secara sedar mahupun tidak yang menyebabkan kita jatuh ke lembah dosa.

Hal ini kerana kita adalah makhluk yang lemah. Kita lemah dalam melawan godaan nafsu serta lemah dalam menentang bisikan jahat iblis. Oleh sebab itulah kita sering sahaja melakukan perkara-perkara tidak baik yang menjerumus ke arah dosa.

Namun demikian, adalah menjadi kewajiban buat kita untuk terus bertaubat atas dosa yang telah kita lakukan itu dan berazam untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut lagi.

Walaupun kita seringkali membuat silap, namun janganlah putus asa untuk bertaubat di jalan Allah. Sentiasalah bertaubat dan menginsafi diri. Allah itu Maha Pengampun dan Dia akan sentiasa mengampuni hamba-hambaNya seperti dalam maksud hadis sahih di bawah.

Allah telah berfirman, Wahai hamba-hambaKu, setiap kalian pasti berdosa kecuali yang Aku jaga. Maka beristighfarlah kalian kepadaKu, nescaya kalian Aku ampuni. Dan barangsiapa yang meyakini bahawa Aku punya kemampuan untuk mengampuni dosa-dosanya, maka Aku akan mengampuninya dan Aku tidak peduli (beberapa banyak dosanya).

-Riwayat Ibnu Majah, Tirmidzi-

2.) Allah Memakbulkan Hajat Orang Yang Beristighfar

Hajat serta permintaan menjadi kenyataan adalah sesuatu yang sangat dicita-citakan oleh setiap manusia termasuklah kita. Sebagai contoh, anda berhajat unutk memiliki kereta, dan tiba-tiba kereta mewah yang anda impikan itu muncul betul-betul di hadapan anda. Apakah perasaan anda? Gembira bukan?

Begitulah juga dengan seseorang yang sentiasa beristighfar, Allah akan selalu menunaikan hajat yang dimintanya itu. Berikut kami kongsikan kisah Imam Ahmad Bin Hambal berkenaan dengan perkara ini.

Terdapat seorang penjual roti yang sentiasa beristighfar. Hasil daripada dirinya yang sentiasa beristighfar itulah Allah telah menghadiahkan setiap hajatnya menjadi kenyataan

Namun, terdapat satu hajat si penjual roti tersebut yang Allah S.W.T belum tunaikan iaitulah untuk bertemu dengan Imam Ahmad Bin Hambal. Pada suatu hari, Imam Ahmad Bin Hambal menumpang bermalam di rumah penjual roti itu. Ketika itu, penjual roti tersebut tidak mengenali Imam Ahmad Bin Hambal.

Mereka berdua berbual dan si penjual roti tersebut menceritakan bahawa setiap hajatnya ditunaikan oleh Allah kerana beristighfar kecuali satu sahaja lagi yang belum tertunai iaitulah untuk bertemu dengan Imam Ahmad Bin Hambal.

Mendengarkan perkara itu, Imam Ahmad Bin Hambal terus memperkenalkan dirinya. Si penjual roti tersebut sebak mengenangkan betapa Allah telah mengaturkan pertemuannya dengan Imam Ahmad Bin Hambal seperti yang dihajatkannya.

Begitu juga dengan kita. Banyakkan istighfar dan berdoa. InshaAllah Allah S.W.T akan mendengar serta memakbulkan doa kita itu.

3.) Dijauhkan Dari Azab Kubur

Kita sering melakukan dosa dan kepada Allah jualah tempat kita memohon keampunan dan perlindungan. Oleh yang demikian sentiasalah memohon ampun kepada Allah tanpa perlu berputus asa.

Keampunan daripada Allah mampu menyelamatkan kita daripada ditimpa azab di akhirat kelak. Sesungguhnya seksaan dan azab kubur itu benar dan amatlah pedih sehinggakan tidak mampu dibayangkan oleh minda manusia yang terbatas.

Oleh itu, sentidas beristighfar dan meminta kempunan atas apa jua dosa yang dilakukan nescaya Allah akan mengampunkan dosa hambaNya. Allah itu Maha Penyayang.

وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنْتَ فِيهِمْ ۚ وَمَا كَانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ


Dan Allah sekali-kali tidak akan mengazab mereka, sedang kamu berada di antara mereka. Dan tidaklah (pula) Allah akan mengazab mereka, sedang mereka meminta ampun. (Surah Al-Anfal: 33)

Terdapat sebuah kisah berkaitan dengan keampunan Allah dan terselamat daripada azab kubur ini. Seorang ulama telah bertanya kepada seorang pemotong daging tentang apakah yang dilakukannya sehinggakan kubur arwah ayahandanya sentiasa lapang dan bercahaya.

Apakah amalan yang dilakukannya sehingga arwah ayahnya itu terselamat daripada azab api neraka. Si pemotong daging itu menjawab dia tidak melakukan apa-apa melainkan beristighfar dan berdoa memohon Allah S.W.T menyelamatkan ayahnya di barzakh.

Oleh itu, jadikanlah beristighfar ini sebagai amalan harian kita. Sentiasalah beristighfar untuk mendapatkan redha Allah seterusnya mampu menyelamatkan kita daripada azab api neraka kelak.



No comments:

Post a Comment