Tuesday, 4 December 2018

Apa Itu Nazar Dan Jenis-jenis Nazar


Oleh: CIKGU ISKANDAR ZULFAQAR

Mungkin kita sering dengar serta tahu maksud nazar dan mungkin juga kita pernah bernazar untuk melakukan sesuatu. Buat anda yang belum tahu apa yang dimaksudkan dengan nazar, kami sertakan maksudnya di sini.

Nazar bermaksud mewajibkan diri sendiri untuk melakukan sesuatu atau perbuatan (ibadah) untuk Allah S.W.T yang pada hukum asalnya tidak wajib. Nazar boleh disama ertikan dengan janji. Oleh yang demikian, anda perlu tunaikan nazar sepertimana janji perlu ditepati.

Contoh situasi nazar mudah sahaja. Anda mengidamkan sebuah kereta baharu sebagai contoh. Jadi, anda sentiasa berdoa supaya dimurahkan rezeki untuk memiliki kereta itu. Bersama doa itu, anda selitkan nazar untuk berpuasa selama satu bulan sekiranya hasrat anda untuk memiliki kereta baharu itu tercapai. Itulah nazar dan apabila anda berjaya memiliki kereta baharu kelak, anda perlulah berpuasa selama sebulan.

Terdapat tiga jenis nazar iaitu Nazar Lajaj, Nazar Al-Mujazah dan juga Nazar Mutlak. Berikut adalah penerangan maksud ketiga-tiga nazar ini beserta contoh:

1.) Nazar Lajaj

Nazar Lajaj dilafazkan bertujuan menghalang diri daripada melakukan sesuatu perkara. Biasanya, nazar ini dilafazkan ketika seseorang kurang pertimbangan diri seperti dalam keadaan marah, terlebih bersemangat dan sebagainya. Sebagai contoh, seseorang itu berkata. Aku bernazar untuk tidak mencarut lagi. Sekiranya aku mencarut sekali, aku perlu berpuasa selama satu bulan.

Jika diteliti, si polan ini sedang dalam keadaan yang sangat bersemangat untuk membendung dirinya daripada mencarut. Namun, beliau lupa risiko sangat tinggi sekiranya beliau tidak sengaja mengeluarkan perkataan mencarut banyak kali.

Hukum menunaikan nazar jenis ini bergantung kepada apa yang dinazarkan. Sekiranya nazar itu berbentuk maksiat dan tidak baik, nazar tersebut tidak perlu ditunaikan.

Sebaliknya, sekiranya nazar tersebut baik, si polan boleh memilih sama ada untuk melunaskannya ataupun membayar kafarah. Bagi menjelaskan lagi perkara ini, Allah telah berfirman dalam Surah Al-Maidah ayat 89 tentang perkara ini.

لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَٰكِنْ يُؤَاخِذُكُمْ بِمَا عَقَّدْتُمُ الْأَيْمَانَ ۖ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpahmu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja, maka kaffarat (melanggar) sumpah itu, ialah memberi makan sepuluh orang miskin, yaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang budak. Barang siapa tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kaffaratnya puasa selama tiga hari. Yang demikian itu adalah kaffarat sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah (dan kamu langgar). Dan jagalah sumpahmu. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu hukum-hukum-Nya agar kamu bersyukur (kepada-Nya).

2.) Nazar Al-Mujazah

Nazar Al-Mujazah adalah nazar yang dilafazkan kerana bergantung kepada sesuatu yang menyebabkan si polan akan melakukan sesuatu. Nazar ini selalunya dilafazkan dalam keadaan sedar. Contoh nazar ini adalah seperti berikut:

Sekiranya penyakitku sembuh, aku akan sedekahkan wang berjumlah RM100.

Hukum melakukan nazar ini pula adalah wajib kerana si polan sedar semasa melafazkan nazar ini. Jadi, dalam situasi seperti contoh di atas, si polan perlu bersedekah sebanyak RM100 sekiranya penyakitnya sembuh kelak.

3.) Nazar Mutlak

Nazar mutlak pula adalah nazar yang dilafazkan seseorang bagi tujuan mendekatkan diri kepada Allah. Tidak ada ada perkara lain yang disandarkan melalui nazar ini. Hal ini bermaksud si polan bernazar hanya untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mengharapkan benda lain.

Sebagai contoh, aku akan berpuasa pada setiap hari Isnin dan Khamis. Hukum bagi nazar jenis ini adalah wajib dilunaskan tanpa terikat kepada sesuatu perkara.

Jadi, begitulah jenis-jenis nazar yang perlu kita ketahui. Berhati-hatilah dalam mengungkap nazar kerana bimbang kita tidak mampu untuk menunaikannya. Semoga artikel ini bermanfaat untuk anda.






No comments:

Post a Comment