Tuesday, 4 December 2018

Fahami Dan Selami Erti Kemanusiaan


Oleh: CIKGU ISKANDAR ZULFAQAR

Kemanusiaan adalah suatu perkataan yang mudah untuk diungkap tetapi sukar untuk ditafsirkan ertinya yang sebenar. Malah, jika ditanya kita secara spontan apa itu erti kemanusiaan, nescaya kita juga kelu untuk menjawabnya bukan?

Banyak jawapan diterima apabila ditanya tentang maksud kemanusiaan. Semestinya, lain orang lain jawapan yang diberikan. Ada yang mengatakan kemanusiaan ini adalah sifat manusia.

Ada juga yang mengatakan berbuat baik itulah yang merujuk kepada erti kemanusiaan. Malah, terdapat juga jawapan yang menarik untuk didengar tentang kemanusiaan iaitulah berbuat baik tanpa mengira kaum dan agama.

Definisi-definisi yang diterima daripada jawapan orang ramai tersebut adalah betul. Namun, erti yang lebih tepat tentang kemanusiaan adalah sifat ihsan dalam diri manusia terutama sekali yang beragama Islam.

Sesungguhnya agama Islam mengajar pengganutnya supaya berbuat baik dan menghulurkan tangan untuk memberikan bantuan kepada sesiapa sahaja walaupun mereka bukan beragama Islam.

Malah, Nabi Muhammad S.A.W sendiri telah menunjukkan contoh ini dengan cara menyayangi seorang wanita tua yang buta walaupun wanita tua tersebut amat memusuhi Islam dan ingin sekali membunuh Baginda.

Namun, atas rasa ihsan dan kemanusiaan yang tinggi, RasullAllah S.A.W tetap juga melayani wanita tua tersebut dengan baik dan menyuapkannya makan. Oleh kerana wanita tua itu buta, dia tidak tahu siapakah yang menyuapkannya itu.

Setelah Nabi Muhammad S.A.W wafat, sahabat telah menyambung amalan Baginda menyuap makan kepada orang tua itu. Namun, orang tua tersebut dapat merasakan bahawa orang yang menyuapkannya kini adalah orang lain dan bukannya yang selalu.

Orang tua tersebut bertanya siapakah gerangan orang yang selalu menyuapkannya makan itu? Sahabat menjawab orang itu adalah RasullAllah S.A.W. Wanita tua tadi menangis teresak-esak dan menyesali perbuatannya kerana telah memusuhi Islam serta ingin membunuh Baginda. Selepas itu, wanita tersebut memeluk Islam.

Begitulah kisah Nabi yang sangat ihsan dan berperikemanusiaan walhal wanita tersebut sangat benci kepadanya. Begitu juga dengan kita. Kita juga perlu menerapkan nilai kemanusiaan ini dalam diri kita kerana perkara ini sangat dituntut dalam agama.


إِنْ أَحْسَنتُمْ أَحْسَنتُمْ لِأَنفُسِكُمْ ۖ وَإِنْ أَسَأْتُمْ فَلَهَا ۚ فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ الْآخِرَةِ لِيَسُوءُوا وُجُوهَكُمْ وَلِيَدْخُلُوا الْمَسْجِدَ كَمَا دَخَلُوهُ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَلِيُتَبِّرُوا مَا عَلَوْا تَتْبِيرًا [١٧:٧][4]

Jika kamu berbuat baik (berarti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat, Maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri, dan apabila datang saat hukuman bagi (kejahatan) yang kedua, (kami datangkan orang-orang lain) untuk menyuramkan muka-muka kamu dan mereka masuk ke dalam mesjid, sebagaimana musuh-musuhmu memasukinya pada kali pertama dan untuk membinasakan sehabis-habisnya apa saja yang mereka kuasai. (Surah Al Isra ayat 7)

Islam ini sebenarnya diturunkan bukan sahaja untuk membawa kebaikan kepada orang Islam itu sendiri tetapi sebenarnya membawa kebaikan kepada semua makhluk bukan sahaja manusia tetapi juga haiwan, tumbuhan, alam dan lain-lain.

Jadi, kita sebagai umat Islam adalah berperanan sebagai ejen kepada perkara ini. Ini bermaksud kita bukan sahaja perlu bersifat kemanusiaan kepada orang Islam dan bukan Islam tetapi juga kita perlu bersifat kemanusiaan kepada semua makhluk lain. Berikut merupakan ayat Al-Quran yang menegaskan perkara ini.

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ

Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam. (Surah Al-Anbiya Ayat 107)

CARA MUDAH MEMPRAKTIKKAN SIFAT KEMANUSIAAN

Tidak sukar sebenarnya untuk kita praktikan sifat kemanusiaan ini kepada manusia dan juga makhluk-makhluk Allah yang lain. Kami akan kongsikan serba sedikit tentang cara-cara mudah untuk mempraktikkan sifat ini.

Pertama, cara yang paling sesuai adalah dengan menghulurkan bantuan kepada orang lain tanpa mengira kaum dan agama. Bantuan di sini tidak bermaksud hanya berbentuk duit dan benda sahaja.

Bantuan di sini datang dari pelbagai sudut. Menolong orang lain mengangkat barangnya yang berat serta menumpangkan orang yang tiada berkenderaan juga dianggap sebagai bantuan. Sifat kemanusiaan terserlah dengan bantuan yang diberikan ini.

Contoh yang dapat kita lihat adalah pengasas-pengasas Madarasah Darussunah (MADS) Pulau Jambongan yang bertungkus-lumus bekerja bagi memastikan anak-anak di Pulau Jambongan celik ilmu agama.

Ribuan wang ringgit mereka habiskan, kudrat dan tenaga juga diperah demi memastikan hasrat murni ini tercapai. Adakah mereka menerima wang sebagai ganjaran? Tidak sama sekali. Segala usaha keras mereka ini dilakukan secara ikhlas dan tidak berbayar. Di sinilah nilai kemanusiaan dapat dilihat.

Contoh kedua adalah program kebajikan yang dijalankan oleh MADS untuk bantuan kepada warga di Kampung Sampah, sebuah kampung yang sangat dhaif. Kumpulan pengasas MADS ini mengeluarkan ratusan ringgit dalam misi kemanusiaan Kampung Sampah ini semata-mata ingin memberikan bantuan kepada mereka.

Itulah antara contoh ihsan dan kemanusiaan sesama manusia. Bagaimana pula contoh sifat kemanusiaan terhadap makhluk lain? Mudah sahaja. Sebagai contoh, seekor kucing yang dalam kelaparan datang menghampiri kita. Berilah makanan kepadanya. Itulah sifat kemanusiaan kita terhadap haiwan.

Paling mudah untuk kita lakukan adalah mengutip sampah yang bertaburan. Walaupun nampak remeh namun amalan itu sebenarnya adalah menunjukkan sikap kemanusiaan atau ihsan kita kepada alam sekitar.

Semoga kita semua diberi kekuatan dalam usaha mempraktikkan sifat kemanusiaan ini dalam diri kita. Sesungguhnya Allah S.W.T itu Maha Melihat akan segala perkara kebaikan yang kita lakukan.



No comments:

Post a Comment