Monday, 12 November 2018

IKHLAS, MUDAH DALAM SUSAH..




Oleh: CIKGU ISKANDAR ZULFAQAR

Ikhlas merupakan perkataan yang selalu singgah di halwa telinga kita. Seringkali kita mendengar percakapan orang lain yang menyebut tentang perkataan ini. Contoh ayat yang sering disebut berkaitan ikhlas adalah seperti ini. Berbuat sesuatu perlulah ikhlas.

Mungkin kita tahu maksud ikhlas itu adalah membuat sesuatu dengan hati yang rela tanpa mengharapakan apa-apa sebagai balasan. Namun, persoalannya adakah itu sahaja yang menyimpulkan maksud ikhlas secara menyeluruh?

Tidak. Ikhlas sebenarnya mempunyai definisi yang lebih daripada itu. Jika diteliti, melalui istilah syarak, ikhlas membawa erti niat hanya untuk mendapatkan redha Allah dalam melakukan amal ibadah dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu yang lain. Malah dalam Al-Quran juga sudah menyebut tentang ikhlas dalam beribadah.

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ

Padahal mereka hanya diperintah untuk menyembah Allah dengan ikhlas dalam beragama secara lurus, dan juga agar mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat. Dan yang demikian itulah agama yang lurus (benar). ( Surah Al-Bayyinah: ayat 5)

Ikhlas sangat dituntut oleh Allah dalam semua perkara terutama sekali ibadat. Tidak sempurnalah sesuatu ibadah yang dikerjakan itu sekiranya tidak didatangkan bersama dengan sifat ikhlas.

Sebagai contoh, seseorang yang sengaja menunaikan solat di hadapan orang ramai dengan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk (bukan bertujuan untuk dijadikan contoh), sudah pasti amalan tersebut tidak sesempurna amalan solat yang dikerjakan orang lain yang lebih ikhlas.

Dalam Al-Quran telah diterangkan kepada kita tentang perkara ini. Sebagai contoh dalam Surah Al-Anam ayat 162 mafhumnya:

Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.

Jelas kepada kita dalam ayat ini telah ditegaskan bahawa segala apa sahaja amal ibadah yang kita lakukan serta hidup kita ini bukanlah untuk dijadikan bahan bagi menunjuk-nunjuk dan meninggi diri melainkan kesemuanya adalah untuk Allah.

Manakala dalam surah Al-Baniyah ayat 5 pula diterangkan bagaimana Allah memerintahkan umat Islam untuk beribadat hanya semata-mata kerana-Nya dan bukannya kerana perkara lain. Mafhumnya:

Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus.

Begitulah pentingnya keikhlasan dalam beribadat kepada Allah. Namun, masih ramai yang tidak mampu untuk mengikhlaskan diri dalam melakukan apa sahaja bukan sekadar beribadat semata-mata.

Tidak dinafikan untuk mendapatkan keikhlasan ini agak sukar. Contoh situasi yang dapat diberikan adalah ketika kita sedang berjalan di pasar. Tiba-tiba kita ternampak sampah di atas lantai lalu kita pun mengutipnya untuk dibuang ke dalam tong sampah.

Pada masa itu juga, ada orang lain yang melihat perbuatan tersebut. Maka, pada ketika itu sekiranya wujud perasaan bangga diri dalam diri kita nescaya keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan tadi tidak mampu dicapai.

Ada juga golongan yang suka mengharapkan pujian daripada kebaikan yang mereka lakukan. Kadang kala, mereka sengaja melakukan kebaikan di khalayak kerana ingin mendapatkan pujian daripada orang sekeliling. Ini pastinya akan merencatkan amal kebaikan tersebut kerana keikhlasan tidak ada lagi.

Namun demikian, dalam susahnya kita untuk mencapai keikhlasan ini sebenarnya masih terdapat kemudahannya. Tips paling mudah untuk mencapai keikhlasan dalam diri adalah jangan sesekali meletakkan pengharapan akan ganjaran yang bakal diperoleh daripada sesuatu kebaikan yang dilakukan.

Tanamkan tekad dalam diri bahawa Allah sentiasa melihat perlakuan kita dan ganjaran daripada Allah itu lebih besar. Menyebut tentang perkara ini, suka untuk saya kongsikan kata-kata hikmat daripada seorang pemimpin yang berbunyi:
Jika kita berbuat baik dan tidak dikenang orang, teruslah berbuat baik kerana akhirnya urusan kita bukanlah dengan orang-orang tetapi dengan Yang Maha Pencipta.

Selain itu, cara yang boleh dilakukan untuk mencapai keikhlasan dalam amalan kebaikan adalah mengerjakan amalan-amalan baik ini secara tersembunyi tanpa pengetahuan orang lain. Hal ini sedikit-sebanyak dapat membantu mencapai keikhlasan kerana diri kita akan kurang potensi untuk meminta pujian orang lain.

Bak kata pujangga, sedekahlah dengan tangan kanan sehingga tangan kiri tidak tahu pun akan jumlah sedekah tersebut. Begitulah sangat ditekankan untuk melakukan amalan kebaikan secara tersembunyi serta tidak diketahui orang lain. Cukuplah Allah sahaja yang Maha Melihat akan amal kebaikan yang kita lakukan itu.

Jadi, marilah berazam untuk kita tingkatkan usaha bagi mencapai keikhlasan dalam apa jua yang kita lakukan tidak kiralah sama ada amal ibadat, amal kebaikan yang lain dan sebagainya. Hal ini kerana kesempurnaan amalan datangnya bersama keikhlasan.










No comments:

Post a Comment