Oleh CIKGU ISKANDAR ZULFAQAR
Setiap umat Islam amat mendambakan
syurga. Hal ini kerana telah diperjelaskan kepada kita betapa besarnya nikmat
syurga itu sehingga tidak mampu dibayangkan oleh minda kita yang terbatas.
Namun, untuk diterima masuk ke dalam
syurga tidaklah mudah dan tidak juga sukar. Syurga boleh diibaratkan sebagai
sebuah taman yang indah dan untuk masuk ke dalamnya, anda perlulah memiliki
tiket. Tiket inilah yang diwakilkan sebagai pahala yang kita kumpul semasa
hidup di dunia dan melalui cara ini Allah kurniakan rahmat untuk masuk ke dalam
SyurgaNya..
Seandainya banyak pahala yang berjaya
dikumpul maka akan diterimalah kita untuk masuk ke syurga dan begitulah juga
sebaliknya. Berikut merupakan petikan ayat daripada Al-Quran yang menerangkan
serba sedikit tentang indahnya syurga:
"Mereka
berehat di dalam syurga dengan berteleku di atas pelamin-pelamin (yang
berhias), mereka tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya),
dan tidak juga merasai suasana yang bersangatan sejuknya." (Al-Insan: 13)
Begitulah gambaran betapanya indahnya
syurga sehingga menjadi dambaan setiap manusia. Maka, setiap daripada kita
wajib berusaha melipatgandakan ibadat untuk memastikan kita layak untuk
dimasukkan ke dalam syurga.
Tahukah kita bahawa terdapat beberapa
orang insan yang telah diberi jaminan oleh Allah S.W.T untuk masuk ke syurga
tanpa syarat. Sudah pastilah pengorbanan dan jasa mereka di jalan Allah itu
sungguh tinggi. Siapakah insan-insan yang bertuah tersebut?
Dalam artikel ini akan dikongsikan 10
orang sahabat yang telah dijanjikan syurga oleh Allah S.W.T berdasarkan hadis
sahih. Berikut merupakan hadis tersebut.
Dari Abdurrahman bin ‘Auf berkata;
Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam bersabda: “Abu Bakar masuk syurga, Umar masuk syurga,
Uthman masuk syurga, Ali masuk syurga, Thalhah masuk syurga, Zubair masuk syurga,
Abdurrahman bin ‘Auf masuk syurga,
Sa’ad masuk syurga, Sa’id masuk syurga dan Abu Ubaidah bin
Jarah masuk syurga.” (Hadis
riwayat Tirmidzi)
Berikut adalah senarai 10 orang
sahabat yang dijamin masuk syurga tersebut:
1.) Abu Bakar As-Siddiq
Abu Bakar As Siddiq adalah bapa mertua
Nabi Muhammad S.A.W iaitu bapa kepada isteri nabi, Aishah. Merupakan salah
seorang khalifah dalam senarai Khulafa. Ar-Rasyidin. Abu Bakar juga merupakan
antara orang terawal memeluk Islam serta orang pertama membenarkan perjalanan
Nabi ke Isra’ dan
Mikraj.
2.) Umar Al-Khattab
Umar adalah khalifah kedua dalam
senarai khalifa Khulafa Ar-Rasyidin. Seorang yang sangat berani serta sangat
tegas dalam mempertahankan agama Islam.
3.) Uthman Bin Affan
Uthman merupakan khalifah ketiga dalam
Khulafa Ar-Rasyidin. Seorang pedagang yang sangat kaya namun sangat dermawan.
Uthman juga seorang yang sangat menjaga adabnya dan juga pemalu. Uthman
menerima gelaran Dzunnurain.
4.) Ali Bin Abi Talib
Khalifah terakhir dalam lipatan
khulafa Ar-Rasyidin. Ali telah menikahi Fatimah Az-Zahra yang juga merupakan
puteri nabi. Mereka kemudiannya dikurniakan dua orang cahaya mata iaitulah
Hassan dan Hussein.
5.) Thalhah Bin Ubaidillah
Thalhah merupakan sahabat nabi dan
berketurunan Quraisy. Thalhah selalu bersama Rasullallah dan termasuklah dalam
Perang Uhud sehingga menyebabkan dia tercedera teruk dalam perang ini. Thalhah
syahid ketika Perang Jamal akibat terkena panahan musuh.
6.) Az-Zubair Bin Al-Awwam
Az-Zubair merupakan sepupu kepada
Rasullallah. Az-Zubair juga merupakan orang pertama yang dengan beraninya telah
menghunus pedang semasa Perang fi Sabililah.
7.) Saad Bin Abi Waqqas
Saad merupakan antara orang terdekat
Rasulallah yang terawal menerima Islam. Saad juga selalu mengikut nabi dalam
peperangan di samping pernah memimpin pasukan perang Islam semasa menentang
tentera Parsi di Qadissyah yang merupakan antara perang paling bersejarah di
dunia.
8.)
Said Bin Zaid
Said pula adalah sepupu Umar
al-Khattab. Said telah mendapat gelaran Abu al-Awwar dan merupakan antara insan
yang terawal menerima Islam semasa mula-mula Islam disebarkan di Makkah.
9.) Abdul Rahman Bin Auf
Nama Abdul Rahman Bin Auf sememangnya
sudah tidak asing lagi bagi kita. Sudah banyak pengorbanan Abdul Rahman Bin Auf
yang kita ketahui. Salah satu fakta yang unik tentang Abdul Rahman Bin Auf
adalah beliau merupakan salah seorang daripada 8 orang pertama yang memeluk
Islam.
10.) Abu Ubaidah Bin Al-Jarrah
Abu Ubaidah Bin Al-Jarrah merupakan
salah seorang daripada golongan Muhajirin dari keturunan Quraisy Makkah. Beliau
mengikut Rasulullah berhijrah ke Madinah dan pernah beberapa kali terlibat
dalam perang untuk mempertahankan Islam. Abu Ubaidah juga pernah memimpin tentera
Islam dalam peperangan menentang tentera Rom.
Diharapkan semoga dengan mengetahui
nama insan-insan yang dijamin masuk syurga ini dapat menambahkan lagi motivasi
kita semua untuk terus menambahkan usaha supaya diterima masuk syurga kelak.

No comments:
Post a Comment