Nama Penulis: Iskandar Zulfaqar
Ujian
merupakan dugaan yang Allah S.W.T turunkan untuk menguji sejauh mana kekuatan
iman hamba-hambaNya. Ujian diturunkan dalam dua jenis sama ada kesusahan
ataupun kesenangan.
Contoh
bagi kesusahan adalah seperti sakit, ditimpa musibah dan sebagainya manakala
bagi bentuk kesenangan pula seperti kekayaan, dikurniakan anak yang cerdik dan
lain-lain. Sememangnya dugaan berbentuk kesenangan adalah untuk melihat sejauh
mana manusia bersyukur dengan nikmat Allah S.W.T yang tidak terhingga. Nikmat
kesusahan pula diberikan untuk Allah meninggikan darjat iman seseorang itu.
Allah
S.W.T. menurunkan dugaan kesusahan kerana merindui seseorang itu. Mungkin
kerana faktor kesibukan kerja, seseorang itu telah berkurang ibadatnya. Jadi,
Allah S.W.T. merinduinya untuk beribadat. Atas dasar itulah Allah S.W.T.
menurunkan ujian kepadanya supaya dia berdoa dan merayu kepada Allah agar
dipermudahkan jalan penyelesaian buat ujian yang dihadapinya.
Hanya
orang kuat akan diduga oleh Allah S.W.T. Harus juga diingat bahawa segala ujian
yang Allah S.W.T. berikan juga hanyalah mengikut kemampuan seseorang itu. Allah
berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 286 mafhumnya:
“Allah tidak membebani seseorang itu
melainkan apa yang terdaya olehnya, dia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya
dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya…”
Melalui
ayat ini, jelaslah kepada kita bahawa ujian yang diturunkan kepada kita itu
tidaklah terlalu berat sehingga kita tidak mampu untuk memikulnya. Allah Maha
adil. Allah sesekali tidak akan membebankan hambanya dengan sesuatu yang tidak
mampu mereka hadapi. Namun, realitinya pada hari ini amat menyedihkan.
Tidak
ramai dalam kalangan umat Islam yang benar-benar memahami konsep ujian yang
Allah S.W.T. turunkan ini. Kebanyakannya berpendapat ujian Allah ini sebagai
satu siksaan kepada mereka. Ini jelas sekali bertentangan dengan konsep ujian
daripada Allah. Ujian sebenarnya merupakan satu peluang kepada kita untuk
ditingkatkan darjat di sisi Allah.
Ramai
juga yang mengeluh setiap kali ditimpa ujian. Malah, lebih teruk ada yang
sehingga mencaci-maki tatkala merasakan bebanan ujian itu terlalu berat untuk
dihadapi. Kadang-kala, ujian itu tidak seberat mana. Namun, oleh kerana terlalu
banyak mengeluh, jalan penyelesaian untuk sesuatu ujian itu menjadi kabur.
Sewajarnya
sebagai seorang yang beriman, kita bertenang dan berdoa kepada Allah supaya
ujian yang diberikan kepada kita itu. Di sini saya akan kongsikan beberapa
langkah yang boleh kita ambil ketika menghadapi ujian Allah. Hal ini demi
memastikan kita dapat menerima ujian itu sebagai sesuatu yang positif dan
bukannya mengeluh serta mengaku kalah. Antara langkah tersebut ialah:
SABAR
Sabar
itu separuh daripada iman. Terdapat satu kata pujangga yang sangat menarik
untuk didengari berkaitan dengan sabar iaitu ’orang
yang kuat adalah orang yang mampu sabar dan menahan marahnya.’
Ini sememangnya benar.
Tidak
semua manusia mampu bersabar. Apabila mendapat sesuatu masalah atau musibah,
kita lebih suka mengeluh daripada bersabar. Sifat sabar itu sememangnya nampak
mudah tetapi amat sukar untuk kita milikinya. Sebagai contoh, kita dibuli oleh
seseorang.
Adakah
kita ingin bersabar ataupun membalas perbuatannya itu? Apabila datangnya
situasi begini, amat sukarlah untuk kita menguasai sifat sabar itu. Oleh yang
demikian, kuasailah sifat sabar ini dalam diri. Sentiasalah bersabar apabila
diduga oleh Allah. Nescaya Allah akan memberikan lebih ganjaran kepada kita
berkat kesabaran yang dimiliki itu.
BERFIKIRAN
POSITIF
Perkara
penting yang menguasai perlakuan kita adalah pemikiran kita sendiri ataupun
dipanggil mindset. Tetapkanlah di dalam minda bahawa setiap ujian yang
Allah timpakan itu adalah untuk meningkatkan darjat kita di sisiNya. Yakinlah
juga bahawa setiap dugaan yang didatangkan itu akan ada bersamanya suatu
hikmah. Sentiasalah berfikiran positif ketika menghadapi ujian Allah.
Sebagai
contoh, jika kita diuji dengan kesakitan sehingga menyebabkan kita tidak dapat
pergi ke tempat kerja. Hikmahnya ialah mungkin diri kita perlukan rehat setelah
terlalu sibuk bekerja. Masa ini juga boleh kita gunakan untuk beribadat kapada
Allah S.W.T.
Terdapat
juga tanggapan yang salah tentang konsep ujian di mana ada yang manyatakan
bahawa ujian ini merupakan kifarah dosa ataupun balasan atas dosa-dosa yang
kita lakukan sebelum ini. Hal ini terang-terangan salah. Jika diteliti pada
sirah Nabi Muhammad S.A.W., baginda turut diturunkan dengan pelbagai ujian
malah lebih berat daripada ujian yang ditimpakan kepada kita pada hari ini.
Adakah
kerana baginda berdosa? Tidak sama sekali. Rasulallah S.A.W. adalah maksum,
iaitu terpelihara daripada dosa dan telah dijanjikan syurga kepadanya. Hujah
yang mengatakan ujian sebagai satu kifarah dosa adalah tidak tepat sama sekali.
BERISTIGHFAR
Sebaik
sahaja sedar kita ditimpa ujian, beristighfarlah dengan penuh keikhlasan.
Sesungguhnya dengan beristighfar dapat menenangkan sedikit hati yang sedang
lara. Tidak dinafikan berat sekali mulut kita untuk beristighfar ketika ditimpa
ujian tetapi mulut kita malah lebih ringan untuk mengungkap kata-kata kesat
bagi melepaskan tekanan yang dihadapi.
Cubalah
yang terbaik untuk beristighfar. Andai kata terlalu sukar, mulakanlah dengan
menyebut nama Allah setiap kali kita ditimpa masalah. Biasakan diri berbuat
begitu sehinggalah diri kita sudah terbiasa. Yakinlah bahawa setiap masalah
yang kita hadapi itu ada penyelesaiannya. Allah inginkan kita untuk berusaha
demi menyelesaikan permasalahan tersebut. Setiap usaha yang kita jalankan juga
telah dijanjikan pahala oleh Allah.
Kesimpulannya,
Allah S.W.T. menurunkan ujian bukanlah untuk mebebankan manusia tetapi untuk
meningkatkan darjat mereka. Setinggi mana pun tahap ujian yang kita terima
sememangnya ada hikmah yang terlindung di sebaliknya. Jangan sesekali berputus
asa atas dugaan yang diterima.
Sebaliknya,
tanamkanlah dalam fikiran bahawa ujian yang diterima itu hanyalah sekadar
kemampuan diri dan bertujuan meninggikan lagi darjat kita di sisi Allah S.W.T.
Semoga perkongsian ini bermanfaat buat kita semua.

No comments:
Post a Comment