Oleh: CIKGU ISKANDAR ZULFAQAR
Siapa pun kita, apa jua jawatan yang
kita pegang serta sehebat mana pun kita di dunia ini, yakinlah bahawa setiap
daripada kita sebenarnya telah menggalas tanggungjawab dan amanah besar.
Tidak kiralah sama ada amanah yang
digalas itu berbentuk jawatan dalam sesebuah organisasi atau pekerjaan, ketua
dalam sebuah kumpulan kecil hatta menjadi seorang bapa sekalipun tetap dikira
memegang amanah dalam memastikan ahli-ahli keluarga sentiasa berada dalam
lindungan dan rahmat Allah.
Namun, sejauh manakah pemahaman kita
tentang perkataan amanah ini. Amanah bukanlah perkataan biasa. Perkataan ini
terkandung makna yang sangat besar dan menjadi penentu sikap seseorang manusia
itu. Seandainya seseorang itu beramanah nescaya sikapnya disukai orang lain dan
begitu juga sebaliknya.
Kita mungkin lupa bahawa setiap
daripada kita sebenarnya memegang satu amanah yang paling besar di muka bumi
ini iaitulah menjadi khalifah. Khalifah membawa erti pemimpin, di mana manusia
perlu memimpin sekalian makhluk di bumi ini dan bukannya melakukan kezaliman
serta penindasan. Berikut merupakan firman Allah dalam Al-Quran berkaitan
perkara ini:
إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ
وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا
وَحَمَلَهَا الْإِنْسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولً
“Sesungguhnya
Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta
gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang
tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk
memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya)
sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah
suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut
dikerjakan”[Surah al-Ahzab 72]
Oleh yang demikian, terdapat beberapa
perkara yang perlu kita titikberatkan dalam usaha menjalankan amanah yang
diberi. Pertama adalah keupayaan kita dalam menjaga amanah tersebut. Jagalah ia
dengan baik dan janganlah sesekali mengkhianatinya.
Sebagai contoh, jika kita memegang
amanah sebagai seorang ketua keluarga, telah menjadi kewajiban kepada kita
dalam membimbing serta sentiasa memberi perlindungan kepada anak-anak dan
isteri yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita.
Begitu juga sekiranya kita memegang
amanah sebagai ketua dalam sesebuah organisasi. Tanggungjawab besar yang perlu
dipikul adalah untuk memastikan kebajikan serta hak anak-anak buah sentiasa
terjaga.
Jangan pula sesekali mengkhianati
amanah yang diberi seperti mengabaikan kebajikan mereka ataupun melakukan
penindasan terhadap mereka. Apabila dibangunkan di akhirat kelak, Allah akan
mempersoalkan bagaimana kita menjalankan amanah yang telah
dipertanggungjawabkan.
Adalah amat beruntung sekiranya amanah
tersebut dijaga dengan baik kerana hal ini bakal memudahkan lagi laluan
seseorang itu untuk ke syurga Allah. Sebaliknya, celakalah orang yang
mengabaikan amanah Allah kerana semestinya hal ini akan menjadi penyebab mereka
dicampak ke neraka.
Oleh itu, sekali lagi diingatkan
bahawa amanah sangatlah penting untuk dijaga dengan baik. Biarlah kita
merasakan susah di dunia ini untuk menjaga amanah tersebut asalkan di akhirat
nanti laluan kita untuk ke syurga akan dipermudahkan.
Semoga kita semua diberikan kekuatan
oleh Allah dalam usaha menjalankan amanah yang dipikul. Semoga usaha kita
menjaga amanah ini dipermudahkan serta diredhai dan diberkati oleh Allah.

Semoga bakal khalifah ku, bisa membimbing ku ke jalan Nya. Semoga Allah swt mendengarkan suara hati ini, memberiku peluang walaupun hanya sedikit waktu, agar aku bisa menemui jalan itu.
ReplyDelete