Monday, 3 September 2018

Bicara Tentang Tanggungjawab Dan Amanah.



Oleh: CIKGU ISKANDAR ZULFAQAR


Siapa pun kita, apa jua jawatan yang kita pegang serta sehebat mana pun kita di dunia ini, yakinlah bahawa setiap daripada kita sebenarnya telah menggalas tanggungjawab dan amanah besar.

Tidak kiralah sama ada amanah yang digalas itu berbentuk jawatan dalam sesebuah organisasi atau pekerjaan, ketua dalam sebuah kumpulan kecil hatta menjadi seorang bapa sekalipun tetap dikira memegang amanah dalam memastikan ahli-ahli keluarga sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah.

Namun, sejauh manakah pemahaman kita tentang perkataan amanah ini. Amanah bukanlah perkataan biasa. Perkataan ini terkandung makna yang sangat besar dan menjadi penentu sikap seseorang manusia itu. Seandainya seseorang itu beramanah nescaya sikapnya disukai orang lain dan begitu juga sebaliknya.

Kita mungkin lupa bahawa setiap daripada kita sebenarnya memegang satu amanah yang paling besar di muka bumi ini iaitulah menjadi khalifah. Khalifah membawa erti pemimpin, di mana manusia perlu memimpin sekalian makhluk di bumi ini dan bukannya melakukan kezaliman serta penindasan. Berikut merupakan firman Allah dalam Al-Quran berkaitan perkara ini:

إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنْسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولً

Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan[Surah al-Ahzab 72]

Oleh yang demikian, terdapat beberapa perkara yang perlu kita titikberatkan dalam usaha menjalankan amanah yang diberi. Pertama adalah keupayaan kita dalam menjaga amanah tersebut. Jagalah ia dengan baik dan janganlah sesekali mengkhianatinya.

Sebagai contoh, jika kita memegang amanah sebagai seorang ketua keluarga, telah menjadi kewajiban kepada kita dalam membimbing serta sentiasa memberi perlindungan kepada anak-anak dan isteri yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita.

Begitu juga sekiranya kita memegang amanah sebagai ketua dalam sesebuah organisasi. Tanggungjawab besar yang perlu dipikul adalah untuk memastikan kebajikan serta hak anak-anak buah sentiasa terjaga.

Jangan pula sesekali mengkhianati amanah yang diberi seperti mengabaikan kebajikan mereka ataupun melakukan penindasan terhadap mereka. Apabila dibangunkan di akhirat kelak, Allah akan mempersoalkan bagaimana kita menjalankan amanah yang telah dipertanggungjawabkan.

Adalah amat beruntung sekiranya amanah tersebut dijaga dengan baik kerana hal ini bakal memudahkan lagi laluan seseorang itu untuk ke syurga Allah. Sebaliknya, celakalah orang yang mengabaikan amanah Allah kerana semestinya hal ini akan menjadi penyebab mereka dicampak ke neraka.

Oleh itu, sekali lagi diingatkan bahawa amanah sangatlah penting untuk dijaga dengan baik. Biarlah kita merasakan susah di dunia ini untuk menjaga amanah tersebut asalkan di akhirat nanti laluan kita untuk ke syurga akan dipermudahkan.

Semoga kita semua diberikan kekuatan oleh Allah dalam usaha menjalankan amanah yang dipikul. Semoga usaha kita menjaga amanah ini dipermudahkan serta diredhai dan diberkati oleh Allah.



1 comment:

  1. Semoga bakal khalifah ku, bisa membimbing ku ke jalan Nya. Semoga Allah swt mendengarkan suara hati ini, memberiku peluang walaupun hanya sedikit waktu, agar aku bisa menemui jalan itu.

    ReplyDelete