Oleh: CIKGU ISKANDAR ZULFAQAR
Islam merupakan sebuah agama yang
sangat mengutamakan keamanan. Hal ini jelas menolak pandangan melampau
sesetengah pihak terhadap agama Islam yang mengatakan bahawa Islam merupakan
sebuah agama yang menyokong keganasan.
Dalam usaha mencapai keamanan,
masyarakat perlulah bersatu dan tidak berpecah-belah. Penyatuan ini sangat
dituntut dalam Islam kerana umat Islam sebenarnya bukan sahaja wajib menjaga
hubungan dengan Allah S.W.T tetapi juga wajib menjaga hubungan sesama manusia.
Penyatuan bukan sahaja membentuk
keamanan tetapi juga bakal membina sebuah komuniti umat yang kuat dan teguh.
Kemajuan juga akan mudah dicapai seiring dengan penyatuan ini kerana masyarakat
akan bekerjasama setelah mencapai kata sepakat untuk mencapai sesuatu.
Dalam membina penyatuan ini, Allah
S.W.T telah memerintahkan kita umat Islam untuk mewujudkan persaudaraan antara
satu sama lain. Seperti yang kita selalu dengar kata-kata “umat
Islam itu bersaudara” konsep
inilah sebenarnya yang akan lebih mengeratkan hubungan sesama Islam dalam usaha
membina penyatuan.
Penyatuan umat Islam bukan sahaja
mampu memajukan umat malah dapat juga menundukkan fitnah-fitnah yang disebarkan
oleh musuh. Oleh itu, sangatlah penting bagi setiap daripada umat Islam untuk
bersatu padu. Letakkan di belakang segala fahaman dan ego diri. Langkahlah ke
hadapan bersama saudara-saudara seagama yang lain.
Tidak sukar sebenarnya bagi kita untuk
mengeratkan tali persaudaraan. Banyak langkah mudah yang boleh diamalkan.
Berikut merupakan beberapa perkara yang perlu diambil perhatian dalam
memantapkan lagi persaudaraan sesama Islam. Antaranya adalah:
1.) Membudayakan ucapan salam apabila
bertemu antara satu sama lain.
Selain daripada memperoleh pahala
dengan hanya mengucapkan ucapan salam, hubungan silaturrahim juga dapat
dieratkan. Kemesraan akan jelas terpancar walaupun tidak ada kata-kata lain
yang diungkap. Cukuplah sekadar memberi salam iaitu mendoakan kesejahteraan
seseorang itu.
2.) Memakmurkan Masjid dan
mengimarahkan masjid dengan menunaikan solat secara berjemaah di masjid.
Tidak dapat dinafikan bahawa masjid
merupakan tempat penyatuan umat Islam. Di masjidlah, umat Islam akan berkumpul
bagi mendirikan ibadah. Silaturrahim juga dapat dieratkan di masjid apabila
kita akan bertemu dengan umat Islam yang lain yang turut sama datang dengan
tujuan beribadat kepada Allah.
3.) Membudayakan amalan
ziarah-menziarahi supaya dapat mengekalkan hubungan kekeluargaan, persaudaraan
dan persahabatan.
Amalan ziarah-menziarahi sangatlah
dituntut dalam Islam terutama sekali menziarahi insan yang ada tali
persaudaraan dengan kita. Tali persaudaraan tidak akan putus sekiranya amalan
ziarah-menziarahi ini diamalkan. Seseorang itu pastinya akan merasa dihargai
dan disayangi sekiranya dia diziarahi oleh saudara-maranya.
Dalam masyarakat Malaysia, budaya
ziarah-menziarahi sering dilakukan apabila tibanya musim perayaan. Kita akan
mengambil peluang ini untuk menziarah saudara-mara, rakan-rakan dan lain-lain tidak
kira jauh atau dekat. Teruskanlah melakukan amalan yang mulia ini namun harus
diingat pada masa yang sama, adab-adab sebagai tetamu haruslah sentiasa dijaga.
4.) Tidak bersangka buruk dan hasad
dengki sesama umat Islam.
Hasad dengki dan bersangka buruk boleh
dianggap sebagai virus yang akan mematikan penyatuan sesama umat Islam.
Kedua-dua sifat negatif ini terjadi disebabkan satu perkara iaitu tidak
mensyukuri nikmat Allah.
Apabila kita tidak bersyukur, secara automatik
kita akan ada rasa iri hati terhadap rezeki yang dikurniakan kepada orang lain
sedangkan rezeki Allah itu berbeza-beza bagi setiap manusia. Sebaik sahaja
terdetik rasa iri hati, sudah pasti kita akan bersangka buruk kepada seseorang
itu pula.
Bagi mengatasi sifat negatif ini, kita
perlulah sentiasa bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan. Jika kita lihat
orang lain mendapat rezeki yang melebihi kita anggaplah usahanya lebih dari
kita dan dia lebih layak akan rezeki tersebut. Teruslah berdoa dan berusaha
untuk mendapatkan rezeki sepertinya.
Semoga perkongsian ini menjadikan kita
lebih peka dalam membina persaudaraan sesama umat Islam di samping bersatu
dalam membela agama Allah. Dengan bersatulah dapat kita capai kejayaan dan
keharmonian seiring dengan kata keramat “Bersatu
kita teguh, bercerai kita roboh!”
Sumber : Jabatan Mufti & Majlis
Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu.

No comments:
Post a Comment