Oleh: Nur Mustika Adriena binti Sazali
Rasulullah SAW bersabda, خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ bermaksud sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia
lain. (Hadis riwayat Ahmad, At-Thabrani & Ad-Daruqutni. Dihasankan oleh
Al-Albani)
Nabi Muhammad SAW menyeru umatnya
untuk melakukan kebaikan, menyebarkan manfaat kepada orang lain sejajar dengan
peranan manusia sebagai khalifah. Menurut Kamus Bahasa Melayu Dewan Bahasa dan
Pustaka, manfaat ialah sesuatu yang mendatangkan kebaikan, kegunaan, faedah
atau keuntungan.
Menjadi Peribadi Bermanfaat
Menjadi peribadi bermanfaat boleh
direalisasikan melalui tiga hal, ilmu / kepakaran, harta dan tenaga. Satu atau
dua daripada tiga perkara itu pasti dikurniakan dalam diri setiap manusia. Kita
dapat menjadi bermanfaat kepada masyarakat dengan ilmu atau kepakaran yang kita
miliki. Sebagai contoh, seorang alim menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat,
seorang arkitek menyalurkan kemahirannya untuk membina pusat dakwah, sekolah
dan sebagainya. Hal lain yang lebih sederhana seperti mengajar kanak-kanak yang
tidak berpeluang untuk mendapat pendidikan formal di sekolah.
Selain itu, kita dapat jadi bermanfaat
melalui harta kekayaan yang dimiliki. Contohnya, sedekah, sumbangan wang
ringgit kepada aktiviti kebajikan dalam dan luar negara. Jika kita tidak mampu
memberi manfaat dengan ilmu dan harta, kita dapat menjadi bermanfaat dengan
tenaga dan kudrat yang Tuhan berikan. Misalnya, menjadi sukarelawan dalam
aktiviti-aktiviti kebajikan. Intinya, tiada alasan untuk kita tidak menjadi
bermanfaat. Setiap orang boleh menjadi sebaik-baik manusia, menjadi peribadi
yang bermanfaat dengan caranya dan kemampuannya yang tersendiri.
Rasulullah SAW bersabda, مَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ الله
فِي حَاجَتِهِ yang bermaksud, barangsiapa
membantu keperluan saudaranya, maka Allah akan membantu keperluannya.
(Muttafaqun ‘alaih) Hadis ini sepatutnya menjadi dorongan motivasi kepada kita
untuk terus membuat kebaikan dalam apa jua keadaan. Nilai manfaat yang paling
bermakna ialah apabila kita memberi kepada orang yang paling memerlukan. Barangsiapa
membantu keperluan saudaranya, maka Allah akan membantu keperluannya.
Sebagai penutup, kata Buya Hamka,
“Kita datang ke dunia membuat kerja, dan apa yang kita kerjakan itu pada
hakikatnya bukan jasa seperti yang disangka kebanyakan orang, tetapi kewajipan
yang sudah semestinya dilakukan oleh tiap-tiap orang hidup”.

No comments:
Post a Comment