Setiap daripada kita akan merasai perkara yang sama pada hari ini. Melalui pagi yang sama, melihat matahari yang sama serta menghirup udara yang sama. Namun, apa yang berbeza adalah cara kita berhadapan dengan semua perkara ini. Sebagai contoh ‘pagi' seorang guru tidak dimanfaatkan sama seperti ‘pagi’ seorang nelayan. Adalah berbeza juga bangun seorang pelajar berbanding bangun seorang pesawah. Kita masing-masing mempunyai jalan hidup sendiri.
Begitu juga dengan Islam yang kita anuti. Agama yang kita warisi mungkin sama, akan tetapi cara kita mengamalkan agama, belum tentu sama. Seorang pendakwah bukanlah seperti pelakon yang hanya menghafal bait-bait dialog lalu diungkap tanpa beriman dengannya. Pendakwah juga bukanlah seorang penyanyi yang melantunkan lirik dengan mendayu tanpa dia bermuhasabah dengan apa yang dinyanyikan itu.
Kerja menjalankan dakwah merupakan tugas para Anbiya’. Pelbagai kesukaran telah mereka lalui sepanjang mereka menjalankan tugas ini. Mereka tidaklah dibentangkan gulungan karpet merah serta disirami bunga melur, akan tetapi ranjau yang mereka lalui semasa dakwah hanyalah bertemankan air mata dan darah.
Mungkin segelintir manusia pada hari ini merasa mahsyur dengan dakwah. Nama mereka dikenali semua, wajah mereka ditatap umum, poket mereka tidak kering dengan dakwah dan perut mereka juga buncit dengan dakwah. Hal ini sehingga menyebabkan mereka alpa dan mata mereka mulai kabur dengan habuan dunia kerana dakwah.
Walhal para anbiya’ melaluinya dengan penuh keperitan. Betapa sukar dan beratnya untuk menyampaikan dakwah kerana ilmu ini akan dibawa dan diwarisi oleh setiap generasi, orang yang beramanah terhadapnya. Mereka membersihkan ilmu daripada penyelewengan orang-orang yang melampau, tokok tambah daripada orang yang jahil terhadapnya, yakni agama. Para anbiya’ menitiskan air mata di atas jalan ini.
Sedangkan kita pada hari ini mengambil kesempatan melalui tanggungjawab berat ini. Kita sewenangnya mencari keselesaan dunia di atas jalan para anbiya’ ini. Kita mencari idea untuk membuat manusia tertawa serta mencari jalan bagaimana memperoleh habuan daripada dakwah yang dijalankan. Lalu mendakwa “kamilah orang yang mengerjakan dakwah?”
Dakwah adalah kerja para nabi dan di atas jalan yang mulia ini, kita merasa tidak layak untuk berdiri di atasnya. Cukuplah sekadar menumpang sekaki di jalan dakwah ini. Ayuhlah berdoa supaya Allah menetapkan keikhlasan kita dalam menjalankan tanggungjawab dakwah yang mulia ini. Amin!

No comments:
Post a Comment