Saturday, 7 July 2018

PENTINGNYA AKHLAK DALAM DIRI SETIAP MUSLIM


Pentingnya Akhlak Dalam Diri Setiap Muslim



Oleh: CIKGU ISKANDAR ZULFAQAR

Seringkali kita dengar ungkapan Islam itu indah! Namun, sedarkah kita apa yang menyebabkan Islam itu indah? Tidak lain dan tidak bukan perkara yang mengindahkan agama Islam ini adalah setiap selok-belok ajarannya.

Allah S.W.T telah menetapkan peraturan-peraturan yang wajib dipatuhi oleh setiap muslimin dan muslimat. Tujuannya adalah bagi memastikan kesejahteraan di alam ini sentiasa terjaga. Barangsiapa yang bertindak mengikari peraturan ini nescaya dia telah menzalimi dirinya sendiri.

Antara perkara yang sangat dititikberatkan dalam Islam adalah akhlak. Akhlak merupakan tingkah laku serta sikap setiap manusia tidak kira sama ada di hadapan khalayak ataupun tidak. Akhlaklah yang bakal mencerminkan peribadi seseorang itu, sama ada seseorang itu muslim yang baik atau tidak, sama ada seseorang itu pendakwah yang baik atau tidak dan sama ada seseorang itu mukminin atau munafik.

Setiap manusia perlu menjaga akhlak terutama sekali kita yang telah dikurniakan anugerah Islam. Tidak ada gunanya kita mengaku melakukan seluruh perintah Allah serta mengajak manusia melakukan kebaikan sedangkan akhlak kita berada di paras yang sangat tidak memberangsangkan.

Persoalan tentang akhlak sebenarnya sudah banyak dibincangkan di mana-mana ceramah agama akan tetapi sejauh mana ia memberi kesan kepada diri anda? memanglah bagus kita mendengar perkara-perkara baik yang disampaikan oleh penceramah tetapi amat merugikan jika kita tidak mampu untuk mempraktikkannya dalam hidup.

Dalam artikel ini, saya akan membincangkan serta mengupas lebih lanjut berkaitan akhlak. Perbincangan akan dibahagikan kepada tiga skop akhlak iaitu akhlak dalam tutur kata, akhlak dalam tingkah laku serta akhlak dalam berdakwah. Ketiga-tiga aspek ini sebenarnya sangat dekat dengan kehidupan seharian kita.

Setiap hari dalam kehidupan, kita semestinya dinasihati untuk menjaga dua perkara ini iaitu percakapan atau tutur kata serta tingkah laku. Bagi skop dakwah pula, setiap daripada kita sebenarnya memiliki tanggungjawab besar dalam menyampaikan dakwah tidak kiralah kepada orang Islam mahupun orang bukan Islam. Jadi, dalam kesemua perkara ini, akhlak haruslah diletakkan sebagai perkara yang sangat penting.

1.) AKHLAK DALAM TUTUR KATA

Setiap hari, kita akan berkomunikasi dengan orang lain, tidak kiralah sama ada dengan ahli keluarga kita sendiri mahupun orang lain. Dalam komunikasi ini, akhlak dalam bertutur kata haruslah dijaga demi memastikan pihak yang berkomunikasi dengan kita itu tidak terasa hati di samping sedikit-sebanyak dapat menyenangkan pihak tersebut.

Terdapat pepatah Melayu yang berbunyi kerana mulut badan binasa. Melalui pepatah ini dapatlah kita ambil iktibar bahawa sangat penting untuk menjaga akhlak dalam tutur kata ini. Jika tiadanya akhlak ketika bertutur kata, kita seolah-olah mengundang bencana kepada diri sendiri.

Sebagai contoh, seseorang itu sering merendahkan martabat orang lain yang berkomunikasi dengannya. Saban hari dia mencerca serta menghina orang tersebut. Sehinggalah suatu hari, si polan itu ditimpa masalah.

Dia buntu kerana tiada sesiapa yang boleh dimintanya bantuan. Satu-satunya orang yang ada dan mungkin boleh menghulurkan bantuan kepadanya hanyalah orang yang selalu dihina dan dicacinya itu. Sudah semestinya akan berat hati orang itu untuk menolong si polan tersebut kerana dia selalu dihina.

Tiadanya akhlak dalam tutur kata juga boleh menyebabkan putusnya silaturrahim sesama umat Islam. Bahkan juga sesama keluarga. Pelbagai situasi boleh kita lihat pada hari ini tentang putusnya ikatan kekeluargaan kerana tiada akhlak dalam tutur kata.

Sebagai contoh, si polan tidak berpuas hati dengan adiknya yang tidak mahu bekerja malah tinggal bersamanya dan si polan juga terpaksa menanggung makan dan minum adiknya itu.

Si polan berasa marah lalu memaki hamun adiknya itu. Adiknya terasa hati dan pergi meninggalkan rumah si polan serta tidak lagi bertegur sapa dengan si polan. Dengan itu, maka terputuslah hubungan kekeluargaan mereka hanya kerana tutur kata si polan yang tidak berakhlak.

Selain itu, terdapat juga golongan cerdik pandai yang berpendapat bahawa peribadi seseorang itu terletak pada tutur katanya. Jika tutur kata seseorang itu dipenuhi dengan kata-kata kesat dan carutan setiap hari maka peribadinya juga kurang baik.

Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama menjaga akhlak dalam berututur kata. Ucapkanlah kata-kata yang baik dan mampu menyedapkan hati seseorang. Jauhi kata-kata kesat serta kasar yang boleh menyakitkan orang lain.

2.) AKHLAK DALAM TINGKAH LAKU

Selain tutur kata, setiap manusia tidak akan terlepas daripada menjaga tingkah lakunya setiap hari. Tingkah laku kita akan dinilai oleh individu lain sama ada secara baik mahupun sebaliknya. Oleh yang demikian, adalah penting untuk menjaga tingkah laku pada setiap masa dan di mana jua kita berada.

islam telah menggariskan beberapa panduan berkaitan akhlak dalam tingkah laku ini. Tingkah laku yang tidak baik bakal menjejaskan maruah diri sendiri bahkan keluarga juga. Sebagai contoh, si polan sering dipenjarakan kerana terlibat dengan pelbagai kes jenayah.

Kesan daripada tingkah laku si polan yang tidak baik itu bukan sahaja diterima olehnya tetapi juga kedua-dua ibu bapanya. Orang ramai akan berkata Oh yang masuk penjara itu anak Si A inilah! Melalui kata-kata seperti itu, insan yang tidak berdosa turut mendapat nama hanya kerana si polan tidak menjaga akhlak dalam tingkah lakunya.

Tingkah laku yang beradab amat perlu terutama sekali ketika berada bersama orang lain. Amat biadap jika tidak menjaga akhlak dalam tingkah laku ketika ini. Perbuatan itu bukan sahaja akan menjadi buah mulut orang lain tetapi juga bakal menjatuhkan maruah sendiri.

Akhlak dalam tingkah laku amatlah penting untuk dijaga terutama sekali oleh golongan yang berpengaruh kerana tingkah laku mereka akan menjadi ikutan orang ramai. Mengambil contoh mudah seperti seorang guru. Guru merupakan seorang insan yang sangat berpengaruh dan tingkah lakunya akan menjadi ikutan anak-anak muridnya.

Amat menyedihkan kita pada hari ini adalah kemunculan trend terbaru iaitu anak-anak gadis merakam aksi mereka sedang menari sambil ditemani muzik latar dan yang paling popular ketika ini adalah lagu bertajuk Syantik. Sayang sekali apabila ramai anak-anak gadis beragama Islam malah ada juga yang bertudung tetapi mengikut trend tidak sihat ini.

Lebih menyedihkan apabila terdapat juga guru yang mengikut trend ini. Budaya ini sebenarnya akan menjadi ikutan anak-anak murid guru tersebut. Jangan salahkan sesiapa jika suatu hari nanti tingkah laku anak-anak murid tersebut sangat teruk kerana salah itu datang daripada diri kita sendiri.

3.) AKHLAK DALAM BERDAKWAH

Sebaik-baik dakwah adalah berdakwah secara berhikmah. Hal ini bermaksud dakwah yang ingin disampaikan itu haruslah secara lembut dan mengambil kira semua aspek. Letakkan akhlak sebagai yang tertinggi ketika berdakwah.

Jangan berdakwah secara rigid iaitu secara keras dan kasar. Contohnya mudah sahaja. Jika pendakwah terserempak dengan seseorang yang sedang melakukan dosa, pendakwah itu perlulah menasihati insan tersebut dengan baik dan bukannya menghukum insan itu. Tanamkan dalam diri bahawa hanya Allah sahaja yang layak menghukum.

Menunjukkan akhlak yang baik bakal menyebabkan dakwah yang kita sampaikan itu mudah diterima. Tunjukkan bahawa pendakwah itu berakhlak dan bukan sekadar menasihati insan lain supaya berakhlak.

Sebagai contoh, daripada pendakwah itu mengajak orang lain melakukan kebaikan, adalah lebih baik baginya untuk melakukan kebaikan terlebih dahulu. Perbuatannya itu akan menjadi contoh dan ikutan orang lain.

Begitulah pentingnya akhlak yang perlu dijaga sebagai seorang Muslim. Akhlak yang baik menunjukkan peribadi yang baik. Semoga dengan perkongsian ini dapatlah kita mengambil iktibar daripadanya.

No comments:

Post a Comment