Tuesday, 24 July 2018

TAWAKAL: Ada apa dengannya.

Tawakal

Sebahagian orang beranggapan bahawa tawakal itu hanya dengan bersikap pasrah dan redha tanpa melakukan usaha sama sekali. Sebagai contoh, kita sering kali mendengar karenah pelajar yang akan menghadapi peperiksaan pada keesokkan harinya yang mana ada sebahagian yang sibuk dengan mengulangkaji dan membuat persiapan untuk menjawab dan ada juga yang sebaliknya. Ada yang masih sibuk dengan bermain game dan hal-hal yang tidak bermanfaat lalu mereka mengatakan, ‘’esok aku menjawab dengan pasrah dan redha sahaja’’. Adakah itu benar-benar yang dimaksudkan dengan tawakal ?, Semoga penulisan ini dapat menjelaskan kepada pembaca tentang makna dan hakikat sebenar tawakal.
Tawakal berasal dari perkataan Arab ‘Wakalah’ yang bererti memilih wakil, mewakilkan atau menyerahkan urusan kepada pihak yang lain. Dalam agama Islam, ‘Tawakal’ adalah sikap seseorang Muslim yang ikhlas dan benar-benar berserah diri sepenuhnya kepada Keagungan dan Kekuasaan Allah dalam menghadapi atau menunggu hasil dari sesuatu usaha, pekerjaan atau menanti akibat dari suatu keadaan. Ia akan menjurus kepada menghayati fitrah sebenar kejadiannya sebagai makhluk ciptaan Allah Yang Maha Esa, yang mana seseorang itu sentiasa menyedari dirinya mempunyai kelemahan dan kekurangan.

Kisah Burung yang berusaha dan bertawakal
Saidina Umar al-Khattab berkata bahawa Nabi SAW bersabda:
‘’Sekiranya kamu benar-benar bertawakal kepada Allah  nescaya Allah akan memberikan rezeki kepada kamu sebagaimana Dia memberi rezeki kepada burung di mana ia keluar dengan perut yang kosong pada waktu pagi dan kembali dengan perut yang kenyang pada waktu petang’’ (Hadis Riwayat Imam Tirmizi, disahihkan oleh Syeikh al- Albani)
Melalui hadis di atas, maka dapatlah kita ketahui bahawa Allah s.w.t yang memberikan rezeki kepada burung. Allah juga yang mengatur alam ini supaya burung sentiasa mendapat makanan. Sungguhpun begitu, Allah tidak memberi makan kepada burung itu di sarangnya.  Namun burung tadi perlu untuk keluar dari sarangnya terlebih dahulu untuk berusaha mencari makanan. Kadangkala, rezeki burung ada di tepi kolam. Kadangkala ada hari tertentu rezeki burung ada di sebalik pokok, dan ada juga hari-hari lain rezeki burung berada jauh nun di atas bukit dan gunung. Walaupun ada kalanya rezekinya kelihatan sukar, namun jarang sekali ia pulang dengan tangan kosong.
Di samping itu, kita boleh mengambil pengajaran untuk diri kita supaya berusaha seperti burung. Kadang-kadang kita berasa runsing dan berputus asa dengan kehidupan seharian kita yang penuh dengan ujian yang datang tanpa dijemput dan diundang. Sedangkan kita mempunyai Tuhan yang maha berkuasa yang mana jika Allah ingin memberikan sesuatu kepada kita, maka tiada siapa yang boleh menghalang. Jika Allah ingin menghalang sesuatu, maka tiada siapa yang boleh memberi. Jadi, apa yang perlu kita risaukan ? Setelah kita sudah berusaha dengan bersungguh-sungguh, maka bertawakallah kepada Allah.
Tuntasnya, tawakal akan mewujudkan keajaiban dalam hidup seseorang insan. Tawakal adalah perkara yang sangat besar dalam aqidah sesorang muslim untuk mempercayai dan menyakini bahawa Allah yang mengurus seluruh alam dan yang menentukan segalanya. Allah telah berjanji sesiapa yang bertawakal kepadaNya maka Allah akan cukupkan keperluan untuknya seperti mana Allah berfirman dalam surah At-Talaq ayat 3:
“Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya.”



Justeru, Allah juga mencintai dan menyayangi orang-orang yang bertawakal kepadaNya seperti mana Allah sebutkan dalam surah al-Imran ayat 159. Maka dengan itu marilah kita sama-sama mengamalkan ‘’tawakal’’ dengan hakikat yang sebenar dalam kehidupan kita. Semoga dengan itu Allah merahmati dan memasukkan kita ke dalam SyurgaNya.

No comments:

Post a Comment