Wednesday, 4 July 2018

MADS: Sebuah Perjuangan Dakwah Tanpa Habuan


MADS: Sebuah Perjuangan Dakwah Tanpa Habuan


Oleh: CIKGU ISKANDAR ZULFAQAR

Keikhlasan datangnya daripada hati yang murni dalam apa kerja sekali pun yang dibuat. Takrif kepada ikhlas adalah menjalankan sesuatu perkara tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Keikhlasan penting dalam membentuk diri yang positif di samping menyucikan jiwa.

Allah S.W.T telah berfirman dalam surah Al-Araf ayat 29:

قُلْ أَمَرَ رَبِّي بِالْقِسْطِ ۖ وَأَقِيمُوا وُجُوهَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَادْعُوهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ ۚ كَمَا بَدَأَكُمْ تَعُودُونَ

Mafhumnya: Katakanlah, Tuhanku menyuruh menjalankan keadilan dan (katakanlah) Luruskanlah muka diri mu di setiap sembahyang dan sembahlah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya. Sebagaimana Dia telah menciptakan kamu pada permulaan (demikian pulalah kamu akan kembali kepada-Nya.)

Berdasarkan firman Allah dalam ayat ini jelaslah kepada kita betapa pentingnya mengamalkan keikhlasan dalam setiap apa jua amalan yang dilakukan. Namun, persoalannya apa pula kaitan keikhlasan dengan dakwah?

Perjuangan dakwah sememangnya sesuatu yang sangat dituntut dalam Islam. Dakwah terbahagi kepada pelbagai bentuk bukan sahaja dengan cara tabligh yakni menyampaikan, bermakna seseorang pendakwah itu turun ke kampung-kampung ataupun kawasan-kawasan dengan tujuan menyampaikan perutusan dakwah.

Dakwah juga terjadi apabila seseorang itu menunjukkan akhlak yang baik di khalayak. Setiap yang melihatnya akan tersentuh dengan kebaikan yang dilakukannya serta mengikuti amalan baik itu, perkara itu juga merupakan dakwah secara tidak sedar.

Sebagai contoh, seseorang itu ternampak sampah kecil di antara khalayak ramai. Lalu, si polan segera menghampiri sampah tersebut dan mengutipnya lalu membuangnya ke dalam tong sampah. Daripada ramai yang melihat perbuatan itu, mungkin sesetengahnya akan tersentuh hati serta menjadikan amalan baik itu sebagai ikutan. Maka itu adalah dakwah walaupun si polan sebenarnya tidak menyedari perbuatannya itu diperhatikan.

Dakwah merupakan tanggungjawab semua umat Islam di muka bumi ini. Tidak ada yang terkecuali jika memenuhi syarat akal yang sempurna, berkemampuan dan sebagainya.

Allah S.W.T berfirman tentang dakwah dalam surah Al Fussilat ayat 33:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Mafhumnya: Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?"

Memahami akan kepentingan dakwah, beberapa orang insan yang telah menyedari tanggungjawab mereka dalam menegakkan agama Allah telah terpanggil untuk melakukan sesuatu sebagai usaha dakwah.


Di sebuah pulau jauh di pedalaman yang terletak di Negeri Di Bawah Bayu, sekumpulan individu ini telah bertungkus-lumus, serta membanting keringat dalam mewujudkan sebuah madrasah sebagai medan mereka menyebarkan dakwah.

Berbekalkan wang ringgit sendiri serta semangat yang tinggi, usaha murni mereka ini dibalas oleh Allah S.W.T. Sebuah madrasah yang menjadi medan dakwah di Pulau Jambongan akhirnya berdiri teguh hingga ke hari ini.

Bukan sahaja tersergam indah dipandang mata tetapi juga penuh dengan pelbagai program keagamaan, bantuan kebajikan serta program-program berkaitan dakwah dijalankan oleh madrasah ini. Program-program ini bukan sahaja mampu meluaskan lagi syiar Islam tetapi juga mampu mengeratkan silaturrahim antara penduduk-penduduk sekitar ini.

Program paling popular yang diadakan setiap tahun di madrasah ini adalah Perkampungan Sunnah. Sebuah program yang padat dengan pengisian agama bukan sahaja untuk warga yang telah berumur tetapi juga untuk kanak-kanak seperti pertandingan azan dan sebagainya.

Alhamdulilah segala perit pengorbanan dalam usaha menubuhkan Madrasah ini akhirnya membuahkan hasil apabila madrasah ini berdiri tegak di bumi Sandakan pada hari ini serta tidak sunyi daripada majlis-majlis ilmu dan program-program.

Akan tetapi, juraian air mata tetap berguguran mengenangkan perjuangan individu-individu yang telah banyak berkorban demi melahirkan sebuah madrasah yang menjadi medan dakwah buat seluruh warga di sini.

Bukan sahaja wang ringgit mereka dihabiskan malah mereka tanpa segan silu terpaksa meminta infaq daripada orang ramai. Tenaga dan masa terpaksa dikorbankan. Keluarga di rumah juga terpaksa berjauhan untuk mencari dana dan bantuan. Semua ini bukanlah untuk kepentingan mereka tetapi demi memastikan syiar Islam terus bersinar.

Semoga Allah mengurniakan keikhlasan dalam jantung hati mereka. Satu sen pun daripada keuntungan yang diperoleh hasil daripada sedekah serta infaq orang ramai tidak mereka sentuh malah wang mereka sendiri turut dikorbankan. Semuanya kerana Allah, kerana ingin melihat agama Allah tersebar dan kerana ingin mendapat rahmat dan berkat Allah dalam menjalankan aktiviti dakwah ini.

Bukan setakat itu sahaja. Setelah Madrasah ini berjaya dibina juga, mereka masih lagi mengorbankan wang ringgit serta tenaga dalam usaha mereka menyebarkan bantuan kebajikan dan dakwah. Terbaru, ketika misi kemanusiaan di Kampung Sampah yang lalu, mereka berusaha mencari dana daripada luar serta tenaga mereka korbankan demi melihat warga kampung itu merasai nikmatnya rezeki Allah di muka bumi ini.

Tahniah dan syabas buat semua individu tersebut yang telah banyak berkorban demi memastikan Madrasah Darus Sunnah (MADS) Pulau Jambongan terbina dan menjadi medan dalam usaha dakwah yang giat dijalankan khususnya di Pulau Jambongan dan Sandakan.

Semoga mereka ikhlas dan telah pun menunjukkan keikhlasan dalam memperjuangkan dakwah di jalan Allah. Begitu juga dengan kita. Kita juga wajarlah ikhlas dalam apa jua perkara. Jika kita tidak mampu berkorban dan mengikhlaskan hati seperti mereka, sedikit keikhlasan hati juga sudah memadai. Paling tidak yang boleh kita lakukan adalah bersedekah dan mengikhlaskan sedekah tersebut.

Semoga Allah merahmati segala usaha individu-individu ini yang ikhlas berjuang demi agama Islam rahmatan lil alamin ini. Didoakan juga semoga Madrasah Darus Sunnah tetap teguh berdiri demi menjadi wadah kepada perjuangan menyebar luaskan dakwah Islam.

Sungguh usaha individu-individu ini dalam berjuang menyebarkan dakwah tidak langsung memperoleh habuan dunia tetapi yakinlah, di akhirat kelak, Allah pasti akan membalas keikhlasan dengan pembalasan yang baik.

(Nukilan artikel ini adalah khas untuk semua individu yang telah berjuang dalam pembinaan MADS.)


No comments:

Post a Comment