Tuesday, 24 July 2018

SAHABAT: Nikmat dalam sebuah kehidupan.



Perjalanan dalam kehidupan ini sangat singkat. Hanya kita semasa melaluinya merasakan seakan-akan panjang tempohnya. Padahal hakikatnya sekejap saja.

Kita sudah menempuh pelbagai bentuk dalam hidup ini. Suka dan duka, tangis dan tawa, silih berganti datangnya. Kadang berat untuk diterima, sukar untuk dihadam. Lalu Allah Ar-Rahim, mencipta Sahabat buat kita. Agar kita bersahabat.

Persahabatan adalah satu nikmat yang besar Allah kurniakan. Bukan semua memilikinya. Bila mana ia jatuh, bangun bersama. Ketika salah satunya jatuh, dia menghulurkan tangan agar kita naik semula. Berasa sedih bila salah satunya tidak mendapat kebaikan, seperti apa yang dia diperoleh.

Manusia ini ada masanya dia lemah, jatuh dan kalah. Dia menangis. Dia buntu. Dia sesat dalam kegelapan. Sahabat, membantu agar dia kuat, bangun dan menang semula. Memegang tangannya sama-sama mencari cahaya Tuhan. Nikmat Ilahi.
Sepotong hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim "Tidak beriman seorang daripada kamu, sehingga dia mencintai saudaranya, seperti dia mencintai dirinya"

Kisah mengenai persahabatan, tidak perlu jauh kita cari. Bacalah kisah antara Nabi Muhammad SAW bersama sahabat paling agung, Saidina Abu Bakar Radiallahuanhu. Bagaimana kasih sayang itu disemai dan disemarakkan. Perjuangan yang penuh dengan air mata dan darah, sama-sama dilalui tanpa keluh. Ketika mana manusia tidak mempercayai cerita Israk dan Mikraj Nabi SAW. Dia sudah mengimaninya. Keutuhan dalam kepercayaan yang tidak boleh kita tandingi. Sakit, pahit, getir dalam ranjau perjuangan membawa panji Islam, menyebar luaskan syiar islam di atas muka bumi ini, mereka tempuh. Sepotong ayat Al-Quran "Jangan bersedih, Sesungguhnya Allah bersama kamu" Mereka kuat, mereka tidak bersedih. Itulah sahabat agung, yang kekal sehingga ke hari akhir.

Kita mungkin tidak dapat menjadi sehebat Abu Bakar, ataupun Umar Al Khattab. Satu persepuluh  pun kita tidak ada jika dibandingkan dengan sahabat agung itu. Semoga Allah meredhai mereka. Tapi, jika tidak dapat semua, jangan tinggalkan semua. Tuluslah dalam bersahabat, berkasih-sayanglah, berinteraksi, dan hiduplah dalam persahabatan. Cara untuk mendapat sahabat, adalah dengan menjadi sahabat.

Jangan pernah kecewa dengan manusia, jika mereka tidak amanah, dan curang dengan kepercayaan kamu. Maafkanlah dan sebarkan salam. Kerana rahmat agama ini sangat luas. Kita setiap hari gagal taat sepenuhnya kepada Pencipta kita, tetapi Dia sama sekali tidak pernah meninggalkan kita. Malahan Dia sayang kepada kita yang melakukan kesalahan, lalu memohon ampun dan maaf kepada-Nya. Allah.. Rahmat dalam agama ini, sangat-sangat luas. Jangan kita sama sekali sempitkan.

Bersahabatlah. Jelajahi lah bumi yang luas ini, dan sebarkan kasih sayang. Tanamkan benih-benih kedamaian di serata tempat. Runtuhkan tembok-tembok kesombongan, ketakburan dan kezaliman dengan budi pekerti mulia. Hiduplah dengan kemuliaan akhlak dan keperibadian mulia. Kelak nanti engkau pasti akan kagum dengan hasilnya. Bagaimana anak cucu cicit kita menikmati hasil-hasil yang kita usahakan. Kedamaian dan keharmonian bertebaran di atas muka bumi ini. Masha Allah.

Semoga Allah sentiasa limpahkan rahmat dan redha-Nya kepada kita semua. Dan semoga Allah tetapkan kita untuk terus Istiqamah di atas agama ini. Amin.

1 comment:

  1. Allah. Sungguh menyedihkan. Inilah realiti kehidupan. Semoga Allah kurniakan Sahabat yang jujur dalam kepada kita semua

    ReplyDelete