Perjalanan
dalam kehidupan ini sangat singkat. Hanya kita semasa melaluinya merasakan
seakan-akan panjang tempohnya. Padahal hakikatnya sekejap saja.
Kita
sudah menempuh pelbagai bentuk dalam hidup ini. Suka dan duka, tangis dan tawa,
silih berganti datangnya. Kadang berat untuk diterima, sukar untuk dihadam.
Lalu Allah Ar-Rahim, mencipta Sahabat buat kita. Agar kita bersahabat.
Persahabatan
adalah satu nikmat yang besar Allah kurniakan. Bukan semua memilikinya. Bila
mana ia jatuh, bangun bersama. Ketika salah satunya jatuh, dia menghulurkan tangan
agar kita naik semula. Berasa sedih bila salah satunya tidak mendapat kebaikan,
seperti apa yang dia diperoleh.
Manusia
ini ada masanya dia lemah, jatuh dan kalah. Dia menangis. Dia buntu. Dia sesat
dalam kegelapan. Sahabat, membantu agar dia kuat, bangun dan menang semula. Memegang
tangannya sama-sama mencari cahaya Tuhan. Nikmat Ilahi.
Sepotong
hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim "Tidak beriman seorang daripada kamu,
sehingga dia mencintai saudaranya, seperti dia mencintai dirinya"
Kisah
mengenai persahabatan, tidak perlu jauh kita cari. Bacalah kisah antara Nabi
Muhammad SAW bersama sahabat paling agung, Saidina Abu Bakar Radiallahuanhu.
Bagaimana kasih sayang itu disemai dan disemarakkan. Perjuangan yang penuh
dengan air mata dan darah, sama-sama dilalui tanpa keluh. Ketika mana manusia
tidak mempercayai cerita Israk dan Mikraj Nabi SAW. Dia sudah mengimaninya.
Keutuhan dalam kepercayaan yang tidak boleh kita tandingi. Sakit, pahit, getir
dalam ranjau perjuangan membawa panji Islam, menyebar luaskan syiar islam di atas
muka bumi ini, mereka tempuh. Sepotong ayat Al-Quran "Jangan bersedih, Sesungguhnya Allah bersama kamu" Mereka
kuat, mereka tidak bersedih. Itulah sahabat agung, yang kekal sehingga ke hari
akhir.
Kita
mungkin tidak dapat menjadi sehebat Abu Bakar, ataupun Umar Al Khattab. Satu
persepuluh pun kita tidak ada jika
dibandingkan dengan sahabat agung itu. Semoga Allah meredhai mereka. Tapi, jika
tidak dapat semua, jangan tinggalkan semua. Tuluslah dalam bersahabat,
berkasih-sayanglah, berinteraksi, dan hiduplah dalam persahabatan. Cara untuk
mendapat sahabat, adalah dengan menjadi sahabat.
Jangan
pernah kecewa dengan manusia, jika mereka tidak amanah, dan curang dengan
kepercayaan kamu. Maafkanlah dan sebarkan salam. Kerana rahmat agama ini sangat
luas. Kita setiap hari gagal taat sepenuhnya kepada Pencipta kita, tetapi Dia
sama sekali tidak pernah meninggalkan kita. Malahan Dia sayang kepada kita yang
melakukan kesalahan, lalu memohon ampun dan maaf kepada-Nya. Allah.. Rahmat
dalam agama ini, sangat-sangat luas. Jangan kita sama sekali sempitkan.
Bersahabatlah.
Jelajahi lah bumi yang luas ini, dan sebarkan kasih sayang. Tanamkan
benih-benih kedamaian di serata tempat. Runtuhkan tembok-tembok kesombongan,
ketakburan dan kezaliman dengan budi pekerti mulia. Hiduplah dengan kemuliaan
akhlak dan keperibadian mulia. Kelak nanti engkau pasti akan kagum dengan
hasilnya. Bagaimana anak cucu cicit kita menikmati hasil-hasil yang kita
usahakan. Kedamaian dan keharmonian bertebaran di atas muka bumi ini. Masha
Allah.
Semoga
Allah sentiasa limpahkan rahmat dan redha-Nya kepada kita semua. Dan semoga
Allah tetapkan kita untuk terus Istiqamah di atas agama ini. Amin.

Allah. Sungguh menyedihkan. Inilah realiti kehidupan. Semoga Allah kurniakan Sahabat yang jujur dalam kepada kita semua
ReplyDelete