Pengurusan Masa: Penentu Untung Dan
Rugi Manusia
Oleh: CIKGU ISKANDAR ZULFAQAR
Kita sering mendengar dalam
ceramah-ceramah motivasi tentang perihal kepentingan memanfaatkan masa dengan
baik. Namun, apakah kita sedar bahawa untung dan juga rugi hidup kita di dunia
ini sebenarnya bergantung kepada cara kita menguruskan masa.
Mana tidaknya, jika seseorang itu
menguruskan masanya dengan baik seperti melakukan ibadat kepada Allah dan juga
melakukan perkara-perkara yang berfaedah, semestinya dia merupakan seorang yang
beruntung kerana dia bakal memperoleh manfaat daripada masa yang digunakannya
untuk kebaikan itu.
Berbeza pula dengan seseorang yang
menggunakan masa untuk perkara-perkara yang tidak berfaedah contohnya seperti
melepak atau bersembang perkara-perkara yang sia-sia, merokok dan sebagainya.
Bagi insan-insan seperti ini, masa yang mereka miliki itu tidak akan memberi
manfaat langsung kepada mereka. Jadi, mereka telah rugi sebenarnya kerana tidak
memperoleh sebarang kebaikan daripada masa yang mereka miliki.
Dalam Islam juga telah ditekankan
betapa pentingnya untuk kita menggunakan masa dengan betul. Allah S.W.T telah
berfirman dalam Surah Al-Asr ayat 1 hingga 3 sebagai panduan jelas kepada umat
manusia untuk memanfaatkan masa dengan baik.
وَالْعَصْرِ (١)إِنَّ الإنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ (٢)إِلا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ
وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (٣)
Demi masa (1)
Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian (2) Melainkan
orang-orang yang beriman dan yang beramal soleh serta nasihat-menasihati ke
arah kesabaran (3) (Surah Al Asr Ayat 1-3)
Dalam ayat ini, Allah telah pun
menjelaskan kepada manusia bahawa betapa ruginya jika tidak memanfaatkan masa
dengan betul. Seseorang itu sebenarnya berada dalam kerugian kecualilah jika
dia beribadat, beramal dan juga melakukan perkara-perkara kebaikan.
Allah Maha Adil. Allah telah
mengurniakan masa yang sama kepada setiap manusia itu tidak kira tua atau muda
dan tidak kira apa-apa agama serta kaumnya. Setiap manusia di bumi ini telah
dibekalkan 24 jam satu hari. Tidak ada yang mendapat lebih ataupun kurang
daripada itu.
Cuma, untuk mengenalpasti seseorang
itu rugi atau untung adalah caranya menguruskan masa tersebut. Adakah dia rugi
(yakni menggunakan masa untuk perkara yang sia-sia) ataupun adakah dia untung
(yakni memanfaatkan masa untuk ibadat serta perkara-perkara yang baik)?
Perkara ini boleh diibaratkan seperti
dua orang peniaga diberikan sejumlah wang yang sama sebagai modal. Sebagai
contoh kedua-dua peniaga A dan B mendapat bantuan modal RM500 setiap seorang.
Kemudian, kedua-dua peniaga diberi kebebasan untuk menguruskan bantuan ini sama
ada dengan baik ataupun sebaliknya.
Peniaga A bertindak bijak dengan
mengembangkan perniagaannya menggunakan modal tersebut. Banyak barang yang
berjaya dijual. Keuntungannya bertambah! Manakala peniaga B pula hanya
menggunakan RM500 itu untuk menyara hidupnya. Duit itu akhirnya habis dan
perniagaannya juga tidak menampakkan keuntungan. Jadi, peniaga B telah
mengalami kerugian.
Begitulah juga dengan masa. Setiap
hari kita memiliki 24 jam. Pastikan masa 24 jam itu kita penuhi dengan
perkara-perkara yang bermanfaat serta pada akhirnya dapat memberi keuntungan
kepada kita.
Tuntasnya, masa adalah anugerah yang
sangat berharga kepada kita dan kita sendirilah yang menentukan sama ada diri
kita ini berada dalam kerugian ataupun keuntungan.
Saya ingin sekali mengambil kesempatan
ini untuk mengajak anda dan diri saya sendiri supaya memanfaatkan masa dengan
baik agar kita semua tergolong dalam golongan manusia yang beruntung di muka
bumi ini.

Masha Allah. Sangat memotivasikan. Teruskan berkarya.
ReplyDeleteAlhamdulillah. Semoga ada manfaat daripada tulisan ini.
Delete