Monday, 23 July 2018

MASA: Penentu Untung Dan Rugi Manusia..


Pengurusan Masa: Penentu Untung Dan Rugi Manusia


Oleh: CIKGU ISKANDAR ZULFAQAR

Kita sering mendengar dalam ceramah-ceramah motivasi tentang perihal kepentingan memanfaatkan masa dengan baik. Namun, apakah kita sedar bahawa untung dan juga rugi hidup kita di dunia ini sebenarnya bergantung kepada cara kita menguruskan masa.

Mana tidaknya, jika seseorang itu menguruskan masanya dengan baik seperti melakukan ibadat kepada Allah dan juga melakukan perkara-perkara yang berfaedah, semestinya dia merupakan seorang yang beruntung kerana dia bakal memperoleh manfaat daripada masa yang digunakannya untuk kebaikan itu.

Berbeza pula dengan seseorang yang menggunakan masa untuk perkara-perkara yang tidak berfaedah contohnya seperti melepak atau bersembang perkara-perkara yang sia-sia, merokok dan sebagainya. Bagi insan-insan seperti ini, masa yang mereka miliki itu tidak akan memberi manfaat langsung kepada mereka. Jadi, mereka telah rugi sebenarnya kerana tidak memperoleh sebarang kebaikan daripada masa yang mereka miliki.

Dalam Islam juga telah ditekankan betapa pentingnya untuk kita menggunakan masa dengan betul. Allah S.W.T telah berfirman dalam Surah Al-Asr ayat 1 hingga 3 sebagai panduan jelas kepada umat manusia untuk memanfaatkan masa dengan baik.

وَالْعَصْرِ (١)إِنَّ الإنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ (٢)إِلا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (٣)

Demi masa (1) Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian (2) Melainkan orang-orang yang beriman dan yang beramal soleh serta nasihat-menasihati ke arah kesabaran (3) (Surah Al Asr Ayat 1-3)

Dalam ayat ini, Allah telah pun menjelaskan kepada manusia bahawa betapa ruginya jika tidak memanfaatkan masa dengan betul. Seseorang itu sebenarnya berada dalam kerugian kecualilah jika dia beribadat, beramal dan juga melakukan perkara-perkara kebaikan.

Allah Maha Adil. Allah telah mengurniakan masa yang sama kepada setiap manusia itu tidak kira tua atau muda dan tidak kira apa-apa agama serta kaumnya. Setiap manusia di bumi ini telah dibekalkan 24 jam satu hari. Tidak ada yang mendapat lebih ataupun kurang daripada itu.

Cuma, untuk mengenalpasti seseorang itu rugi atau untung adalah caranya menguruskan masa tersebut. Adakah dia rugi (yakni menggunakan masa untuk perkara yang sia-sia) ataupun adakah dia untung (yakni memanfaatkan masa untuk ibadat serta perkara-perkara yang baik)?

Perkara ini boleh diibaratkan seperti dua orang peniaga diberikan sejumlah wang yang sama sebagai modal. Sebagai contoh kedua-dua peniaga A dan B mendapat bantuan modal RM500 setiap seorang. Kemudian, kedua-dua peniaga diberi kebebasan untuk menguruskan bantuan ini sama ada dengan baik ataupun sebaliknya.

Peniaga A bertindak bijak dengan mengembangkan perniagaannya menggunakan modal tersebut. Banyak barang yang berjaya dijual. Keuntungannya bertambah! Manakala peniaga B pula hanya menggunakan RM500 itu untuk menyara hidupnya. Duit itu akhirnya habis dan perniagaannya juga tidak menampakkan keuntungan. Jadi, peniaga B telah mengalami kerugian.

Begitulah juga dengan masa. Setiap hari kita memiliki 24 jam. Pastikan masa 24 jam itu kita penuhi dengan perkara-perkara yang bermanfaat serta pada akhirnya dapat memberi keuntungan kepada kita.

Tuntasnya, masa adalah anugerah yang sangat berharga kepada kita dan kita sendirilah yang menentukan sama ada diri kita ini berada dalam kerugian ataupun keuntungan.

Saya ingin sekali mengambil kesempatan ini untuk mengajak anda dan diri saya sendiri supaya memanfaatkan masa dengan baik agar kita semua tergolong dalam golongan manusia yang beruntung di muka bumi ini.



2 comments:

  1. Masha Allah. Sangat memotivasikan. Teruskan berkarya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah. Semoga ada manfaat daripada tulisan ini.

      Delete